Berita Semasa

TIDAK MELAKSANA PKPB WAJAR : EWON

image

KOTA BELUD: Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah, Datuk Ewon Benedick berkata keputusan Kerajaan Negeri untuk tidak melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat(PKPB) adalah wajar.

“Saya menyokong penuh keputusan seperti yang dinyatakan Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Mohd Shafie Apdal kerana kita mahu memastikan usaha membendung penularan pandemik Covid-19 berterusan dengan jayanya.

“PKP 4 berkuatkuasa sehingga 12 Mei, maka kita beri tempoh ini sebaiknya untuk menjayakan pembendungan pandemik ini,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Ewon yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kadamaian berkata, Kerajaan Negeri sentiasa prihatin dengan keselamatan rakyat terutama melibatkan ancaman nyawa seperti pandemik Covid-19.

“Sebab itu, Kerajaan Sabah mengambil langkah terawal menghentikan penerbangan terus dari China ke Sabah. Seterusnya mengambil langkah-langkah yang tersendiri dan unik berbanding beberapa keputusan yang diumumkan oleh Kerajaan Persekutuan.

“Nyata, langkah-langkah yang diambil oleh Kerajaan Negeri ini berjaya menangani penularan pandemik ini di mana kadar pesakit yang sembuh lebih tinggi berbanding kadar pesakit baru yang direkodkan sejak beberapa minggu ini.

“Saya percaya dengan langkah untuk tidak melaksanakan PKPB bermula esok (4 Mei) adalah sangat wajar dan boleh menjayakan lagi usaha pembendungan pandemik ini,” katanya.

Ewon juga berharap agar rakyat terus bersabar dan mengamalkan langkah-langkah keselamatan seperti duduk di rumah dan mengamalkan penjarakkan sosial apabila berada di luar rumah.

Beliau turut menyokong keputusan membuka beberapa sektor perniagaan secara bersyarat di Sabah seperti yang telah diumumkan oleh Setiausaha Kerajaan Negeri.

“Saya amat yakin, kita boleh bersedia membuka sepenuhnya semua sektor perniagaan dan perindustrian dengan kerjasama sepenuhnya semua rakyat sepanjang PKP ini.

“Keputusan-keputusan Kerajaan Negeri akan diumumkan oleh Setiausaha Kerajaan Negeri dan kita berharap pandemik ini dapat diatasi sepenuhnya dengan pematuhan kepada langkah-langkah yang diumumkan,” katanya.

Ewon mengulas kenyataan Ketua Menteri bahawa Sabah tidak melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) sebaliknya mengekalkan PKP tahap 4 yang akan berakhir pada 12 Mei.

Semasa Hari Pekerja pada 1 Mei lalu, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan kerajaan akan melaksanakan PKPB dengan sebahagian besar aktiviti ekonomi dan sosial dibenarkan mulai 4 Mei (Isnin).

Muhyiddin dipetik sebagai berkata, langkah itu susulan dua daripada enam strategi dan perancangan kerajaan dalam memerangi wabak iaitu ketegasan dalam tindakan mengawal Covid-19 dan membina ketahanan melalui Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin telah membuahkan hasil./beritasabah.com

Kongsikan Berita Ini

Tinggalkan Komen Anda