Berita Semasa

SEMUA PENGERUSI MPKK WAJAR DIBERI INSENTIF

image

KOTA KINABALU: Pemberian insentif secara ‘one off’ perlu diberikan kepada Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) bagi menghargai usaha dan sumbangan mereka sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini.

Ini berikutan sejak PKP dilaksanakan, pengerusi MPKK menjadi individu penting dalam memastikan saluran bantuan kerajaan mencapai sasarannya.

Ketua Pemuda UPKO Kota Marudu, Jamil Majingkin berkata, beliau yang terlibat secara langsung membantu pihak kerajaan menyampaikan agihan bantuan kepada rakyat mendapati, usaha ini dipermudahkan dengan adanya kerjasama Pengerusi MPKK di setiap kampung.

Katanya, sebagai contoh di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) N5 Tandek, usaha mengesan ketua Isi Rumahtangga (KIR) bagi setiap kampung sememangnya terletak dibahu Pengerusi MPKK.

“Selain daripada menyediakan maklumat berkaitan, mereka juga turut terlibat secara sukarela menghantar agihan bantuan kepada penduduk di kawasan kampung masing-masing.

“Apa yang jelas, pengorbanan Pengerusi MPKK secara keseluruhan tidak dapat dinafikan kerana mereka bukan saja mengorbankan masa dan tenaga, malahan wang ringgit sendiri demi memastikan amanat dipertanggungjawabkan terlaksana dengan jayanya,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Jamil berkata, pengorbanan mereka berdepan risiko ekoran sering terdedah kepada sebarang kemungkinan jangkitan juga perlu diberi perhatian khusus oleh pihak kerajaan.

Sehubungan itu katanya, amat wajar pihak kerajaan mempertimbangkan insentif secara ‘one off’ khas kepada semua Pengerusi MPKK secara keseluruhannya.

“Pemberian insentif tunai sekurang-kurangnya RM300 untuk setiap Pengerusi MPKK adalah saguhati sebagai tanda penghargaan kepada usaha mereka.

“Kita semua sedia maklum, terdapat pelbagai bentuk bantuan yang sudah dilaksanakan kerajaan, namun saya amat berbesar hati seandainya perkara ini juga turut mendapat perhatian khususnya pihak kerajaan,”katanya.

Jamil berkata, usaha Pengerusi MPKK yang bertungkus-lumus membantu kerajaan dalam menyampaikan agihan bantuan kepada penduduk kampung amat diperlukan dan dihargai./beritasabah.com

Kongsikan Berita Ini

Tinggalkan Komen Anda