Berita Semasa

UPKO MENYOKONG PENUH PETISYEN TARIK BALIK IC

image

TUARAN: Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO), Datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tangau menyeru semua pihak untuk menyokong sebuah gerakan menandatangani petisyen bagi menarik dan menukarkan kad pengenalan (IC) sedia ada kepada kad yang baharu.

Bercakap dalam laman youtube miliknya hari ini beliau memaklumkan, seluruh Ahli UPKO akan menandatangani petisyen itu kerana ia seiring dengan perjuangan parti tersebut berhubung isu penyelewengan dan pemberian kewarganegaraan melalui rasuah kepada pendatang asing tanpa izin (PATI) di Sabah.

“Petisyen secara atas talian ini dimulakan oleh sekumpulan aktivis pemuda pro UMNO di Semenanjung Malaysia yang mendesak Kerajaan Persekutuan mempercepatkan cadangan mewujudkan kad pengenalan baharu dengan segera.

“Perkara ini sebenarnya sudah sekian lama UPKO perjuangkan. Kita telah usulkan beberapa kali di persidangan Dewan Rakyat, justeru petisyen ini menunjukkan ramai pihak yang telah membuka mata terhadap penyelewengan yang berlaku terhadap pemberian kad kewarganegaraan di negara ini,” katanya.

Madius yang juga Timbalan Ketua Menteri berkata, isu itu di Sabah sebenarnya sangat jelas jika dilihat dari segi peningkatan penduduk yang mendadak dan tidak masuk akal.

Sebagai contoh katanya, data pertambahan penduduk Bumiputera Sabah dari tahun 1960 hingga 2000 ialah 417 peratus iaitu sama seperti sepasang suami isteri menghasilkan 834 anak dalam tempoh 40 tahun.

“UPKO juga telah membuat kajian di lapangan berhubung perkara ini. Kita telah bertanya kepada mereka (pendatang asing) yang telah mendapatkan kad pengenalan.

“Kita mendapati mereka mempunyai kad pengenalan yang betul. Tetapi diperoleh dengan cara membeli dengan harga RM2,000 – RM10,000 untuk satu kad pengenalan.

“Hasil dapatan kajian ini kita telah bawakan ke pendengaran awam Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengenai Pendatang Asing Tanpa Izin di Sabah. Ia juga boleh diakses di laman web UPKO,” jelas Madius.

Berdasarkan bukti kukuh tersebut katanya, UPKO kemudiannya mendesak kerajaan melalui rekomendasi dalam RCI.

“Dalam rekomendasi itu ada memaklumkan hanya satu cara untuk membersihkan daftar kewarganegaraan di Malaysia iaitu dengan menarik semula kad pengenalan yang ada sekarang dan menggantikan dengan kad pengenalan baru.

“Dengan erti kata lain, kepada mereka yang mendapatkan pengenalan secara rasuah, mereka tidak akan dapat kad pengenalan baru itu nanti,” ujar beliau yang juga Menteri Perdagangan dan Perindustrian Sabah.

Menurut Madius, penukaran kad pengenalan ini bukan sesuatu perkara yang baharu.

“Negara Malaysia sudah menukarkan kad pengenalan sekurang-kurangnya empat kali dari dahulu sampai sekarang.

“Sehubungan itu saya ingin mengisytiharkan sekali lagi bahawa UPKO menyokong sepenuhnya terhadap petisyen ini,” tegasnya sambil menyeru semua rakyat termasuk rakan dari Wilayah Sarawak turut menandatangani petisyen tersebut.

Setakat jam 6.00 petang tadi, “Petisyen: Rakyat Desak Tukar IC Baharu, Banteras Sindiket IC Palsu” sudah berjaya mengumpul tandatangan lebih 74,000 rakyat dari seluruh Malaysia.

Kepada yang ingin turut serta menyokong petisyen ini boleh berbuat demikian melalui pautan http://chng.it/68nNDqRX. /beritasabah.com

Kongsikan Berita Ini

Tinggalkan Komen Anda