Kesihatan

69 KES BAHARU DI MALAYSIA, SATU LAGI KEMATIAN: COVID-19

image

KOTA KINABALU: Malaysia hari ini mencatat 69 lagi kes Covid-19 baharu menjadikan jumlah keseluruhan kes di negara ini, setakat ini, sebanyak 6,071.

Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah dalam sidang medianya di Putrajaya, hari ini, berkata daripada jumlah berkenaan, sebanyak 12 kes adalah kes import, manakala 57 lagi adalah jangkitan tempatan.

Beliau turut memaklumkan satu lagi kematian baru juga dilaporkan menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak 103 kematian.

Katanya, kes kematian terbaharu yang direkodkan membabitkan lelaki warganegara Malaysia berumur 66 tahun dan mempunyai latar belakang penyakit barah.

“Beliau mempunyai sejarah kontak rapat dengan kes positif Covid-19 (iaitu kes ke-4818).

“Beliau telah dirawat di Hospital Kuala Lumpur pada 14 April 2020 dan disahkan meninggal dunia pada 30 April 2020 jam 4.00 petang,” katanya.

Dalam perkembangan sama, Noor Hisham berkata, sehingga kini seramai 37 kes positif sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan daripada jumlah tersebut, 14 kes memerlukan bantuan pernafasan.

Sementara itu, beliau berkata, seramai 39 pesakit dilaporkan pulih dan dibenarkan keluar daripada hospital, menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak 4,210 kes./beritasabah.com

Kongsikan Berita Ini

Tinggalkan Komen Anda