Berita Semasa

JOGING DAN BERBASIKAL DI LUAR DIBENARKAN

image

KOTA KINABALU: Selain pembukaan semula hampir semua sektor ekonomi, bermula Isnin depan, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin turut mengumumkan aktiviti riadah di luar seperti berjoging dan berbasikal adalah dibenarkan.

“Aktiviti sukan outdoor yang tidak melibatkan sentuhan badan dan perhimpunan ramai dibenarkan.

“Jadi, saudara-saudari boleh bermain badminton atau tenis di luar tanpa penonton.

“Joging, kayuhan basikal, golf dan larian dalam kumpulan kecil tidak melebihi 10 orang juga dibenarkan dengan syarat anda mengamalkan penjarakan sosial dan elakkan sentuhan badan,” katanya.

Muhyiddin berkata demikian dalam perutusan khasnya sempena Hari Pekerja di ibu negara, hari ini.

Bagaimanapun, beliau berkata, aktiviti-aktiviti sukan yang melibatkan perhimpunan ramai, sentuhan badan dan lain-lain risiko jangkitan tidak dibenarkan.

“Ini termasuk sukan bola sepak, ragbi, renang dan semua acara sukan ‘indoor’ dan stadium,” katanya.

Dalam perkembangan sama, Muhyiddin berkata, majlis-majlis sosial, kemasyarakatan dan kebudayaan yang melibatkan perhimpunan ramai seperti kenduri, rumah terbuka, majlis berbuka puasa beramai-ramai, konsert, persembahan kebudayaan, perhimpunan bulanan jabatan kerajaan dan swasta serta semua bentuk majlis perasmian dan perhimpunan adalah tidak dibenarkan.

“Aktiviti kegamaan seperti perarakan keagamaan, solat Jumaat dan semua aktiviti berjemaah atau berhimpun di masjid, surau dan rumah￾rumah ibadat juga tidak dibenarkan.

“Perjalanan rentas sempadan negeri juga tidak dibenarkan kecuali untuk tujuan hadir bekerja dan pulang semula ke rumah sendiri setelah terkandas di kampung atau di tempat-tempat lain.

“Perjalanan rentas negeri untuk balik ke kampung semasa cuti perayaan Aidilfitri tidak dibenarkan,” katanya.

Tambah beliau, buat masa ini juga, semua sekolah, kolej dan institusi pengajian tinggi masih belum dibuka./beritasabah.com

Kongsikan Berita Ini

Tinggalkan Komen Anda