Berita Semasa

HAMPIR SEMUA SEKTOR AKAN DIBUKA BERMULA ISNIN

image

KOTA KINABALU: Perdana Menteri, Tan Seri Muhyiddin Yassin, hari ini, mengumumkan hampir semua sektor ekonomi akan dibenarkan buka bermula Isnin depan.

“Atas nasihat Kementerian Kesihatan berdasarkan data-data yang dikumpul dan amalan terbaik yang ditentukan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia atau WHO, kerajaan telah memutuskan untuk membuka semula sektor-sektor ekonomi secara berhati-hati dengan menguatkuasakan SOP (prosedur operasi standard) kesihatan yang ketat.

“Bermula 4 Mei 2020, hampir semua sektor ekonomi dan aktiviti perniagaan akan dibenarkan beroperasi tertakluk kepada syarat-syarat dan SOP yang ditetapkan oleh pihak berkuasa,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam perutusan khasnya sempena Hari Pekerja, di ibu negara, hari ini.

Bagaimanapun, Muhyiddin berkata, masih ada beberapa industri dan perniagaan tertentu tidak dibenarkan beroperasi termasuk yang melibatkan perhimpunan ramai dan sentuhan badan di mana penjarakan sosial sukar dikawal.

“Saya katakan hampir semua kerana masih ada beberapa kategori industri dan perniagaan yang tidak diizinkan untuk beroperasi.

“Antaranya panggung wayang, pusat karaoke, pusat refleksologi, pusat hiburan, kelab malam, taman tema, bazar Ramadan, bazar Aidilfitri, karnival jualan dan semua bentuk persidangan dan pameran,” katanya.

Terdahulu, dalam ucapannya, Muhyiddin mengumumkan bahawa kerajaan akan melaksanakan perintah kawalan pergerakan bersyarat (PKPB).

Jelas Muhyiddin, ini kerana, menurut Kementerian Kesihatan (KKM), Malaysia telah memenuhi enam kriteria yang ditetapkan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia atau WHO.

“Alhamdulillah, pendekatan pertama dan kedua telah membuahkan hasil.

“Kini, kita telah bersedia untuk memulakan pendekatan ketiga, iaitu membuka semula aktiviti ekonomi di seluruh negara secara terkawal dan berhati-hati. Dengan ini kerajaan akan melaksanakan PKPB,” katanya.

Di bawah PKPB, kata Muhyiddin, sebahagian besar daripada aktiviti ekonomi dan sosial akan dibenarkan, kecuali beberapa aktiviti yang melibatkan perhimpunan ramai dan mendedahkan orang awam kepada risiko jangkitan wabak Covid-19 yang masih tidak dibenarkan.

Perintah kawalan pergerakan dipertingkatkan (PKPD) bagaimanapun akan terus dilaksanakan di kawasan-kawasan yang mencatatkan kes positif Covid-19 yang tinggi./beritasabah.com

Kongsikan Berita Ini

Tinggalkan Komen Anda