Berita Semasa

PENJARA NEGERI SABAH TELAH JAHIT 17,000 SET PPE

image

KOTA KINABALU: Penjara Sabah setakat ini telah berjaya menjahit sebanyak 17,000 set peralatan perlindungan diri (PPE) untuk kegunaan petugas kesihatan di seluruh negeri ini semasa mengendalikan pesakit Covid-19, kata Pengarah Penjara Sabah dan Labuan, Datuk Suria Idris .

Beliau berkata kesemua PPE berkenaan dijahit oleh 130 penghuni penjara di Kota Kinabalu, Tawau, Sandakan, dan Labuan.

“Kita telah menerima tempahan menjahit itu sejak fasa pertama Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan kesemua PPE berkenaan dijahit penghuni penjara yang mengikuti bengkel jahitan,” katanya kepada pemberita selepas menerima bahan-bahan jahitan PPE daripada syarikat Kumpulan BTC Bhd, di sini, hari ini.

Bahan-bahan jahitan PPE berkenaan disampaikan oleh Pengarah Urusan Kumpulan BTC Berhad, Datuk Abdul Kadir ME Sikkandar kepada Suria dan disaksikan oleh Pengarah Kesihatan Sabah Datuk Dr Christina Rundi.

Sementara itu, Dr Christina menzahirkan ucapan terima kasih kepada semua pihak penyumbang bahan jahitan PPE berkenaan yang sudah semestinya sangat menjadi keperluan kepada petugas kesihatan di seluruh Sabah.

“Kita juga merakamkan penghargaan kepada penghuni penjara (banduan) yang telah membantu untuk menjahit secara percuma PPE ini dan hari ini sekali lagi ada pihak yang berbesar hati memberi sumbangan bahan jahitan dan saya difahamkan ia mampu mengeluarkan sebanyak 5,000 set PPE,” katanya.

Beliau berkata PPE adalah keperluan yang mendesak kepada semua petugas kesihatan bukan sahaja di Malaysia, tetapi di seluruh dunia.

“Oleh itu saya berharap akan lebih banyak lagi pihak diluar sana berbesar hati untuk membantu para barisan hadapan khususnya petugas kesihatan dalam usaha menangani Covid-19,” tambahnya./beritasabah.com

Kongsikan Berita Ini

Tinggalkan Komen Anda