Jenayah

SEORANG WARGA FILIPINA MILIKI BARANG KAWALAN TANPA PERMIT

image

SANDAKAN: Pasukan Polis Marin (PPM) Sandakan menahan seorang lelaki warga Filipina kerana membawa barang kawalan tanpa sebarang permit daripada pihak berkuasa di perairan laut Inner Bouy Pulau Berhala, petang semalam.

Lelaki berusia 48 tahun itu ditahan kira-kira jam 3 petang oleh sepasukan anggota Kapal Ronda PSB 2 PPM yang membuat rondaan Op Covid 19 di perairan berkenaan.

Komander PPM Wilayah 4 Sabah, Asisten Komisioner Mohamad Pajeri Ali, berkata ketika menjalankan tugas, pasukan terbabit terlihat bot suspek bergerak dalam keadaan mencurigakan di perairan terbabit.

Katanya, hasil pemeriksaan ke atas bot tersebut menemui terdapat barang kawalan sebanyak 150 bungkus minyak masak, 50 bungkus gula kasar , 30 kotak tepung gandum dan barang runcit lain.

“Jurangan terbabit juga gagal menunjukkan permit atau surat kelulusan daripada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) ke atas semua barang kawalan yang dibawanya.

“Suspek dan semua barang rampasan tanpa permit tersebut termasuk kapal bersama enjinnya dibawa ke pangkalan PPM Sandakan untuk tindakan lanjut,” katanya.

Mohamad Pajeri berkata, nilai keseluruhan rampasan dianggarkan RM54,083.00 dan kes disiasat mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 dan dibaca bersama peraturan-peraturan kawalan bekalan./beritasabah.com

Kongsikan Berita Ini

Tinggalkan Komen Anda