Jenayah

ENAM ORANG INGKAR PKP DI BEAUFORT DITAHAN

image

BEAUFORT: Enam individu ditahan selepas didapati melanggar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dalam beberapa kejadian di daerah ini, malam tadi.

Semua suspek berusia 37 hingga 61 tahun ditahan sepasukan polis yang menjalankan Op Covid-19 snap check di Jalan Membakut Jaya, selama dua jam bermula jam 8.30 malam.

Ketua Polis Daerah Beaufort Deputi Superintendan Azmir Abd Razak berkata, semua suspek terbabit didapati bergerak keluar dari kediaman masing-masing dan berada di tempat awam tanpa alasan yang dibenarkan.

“Semua suspek yang ditahan memberi pelbagai alasan dan ada yang sengaja keluar rumah menggunakan kenderaan berpusing-pusing di pekan sebelum balik ke rumah

“Selain itu, Ada juga alasan cari ikan untuk sahur, pergi rumah ibu saudara, beli air di mesin air, dan jumpa kawan.

“Semua individu ini memandu kenderaan masing-masing dan ditahan kerana dengan sengaja tidak mematuhi PKP,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Azmir berkata, semua suspek kemudian dibawa balik ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Beaufort untuk siasatan lanjut.

Katanya, mereka didapati melanggar undang-undang mengikut Peraturan 3(1) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-langkah di dalam Kawasan Tempatan) No.3, 2020.

“Orang yang ditahan juga didapati memberikan alasan yang bukan termaktub dengan maksud mengikut subperaturan (2) Peraturan-peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-langkah di dalam Kawasan Jangkitan Tempatan) No.3, 2020.

“Peraturan ini dengan jelas menyatakan tiada seorang pun boleh bergerak dari satu tempat ke suatu tempat yang lain di dalam mana-mana kawasan tempatan jangkitan atau sebaliknya,” katanya.

Azmir berkata, hasil pengakuan semua individu yang ditahan mendakwa mengetahui mengenai arahan PKP yang sedang berkuatkuasa.

“Mereka mengaku sedar dan tahu arahan berkenaan melalui hebahan SMS dari Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan juga melalui sebaran media sosial di internet.

“Dalam pengetahuan semua tangkapan, larangan tersebut masih berkuatkuasa namun tetap keluar dari rumah bagi maksud yang bukan seperti di bawah sebperaturan (2) PPPPB, No.3, 2020,” katanya./beritasabah.com

Kongsikan Berita Ini

Tinggalkan Komen Anda