Berita Semasa

LIMA KELUARGA HILANG RUMAH KEDIAMAN

image

KOTA MARUDU: Seramai 28 orang daripada lima keluarga tinggal sehelai sepinggang apabila kediaman mereka di Kampung Roson, Pitas, dekat sini, musnah terbakar, awal pagi tadi.

Bagaimanapun dalam kejadian 5.30 pagi itu, tiada kemalangan jiwa dilaporkan.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada 5.47 pagi.

Katanya, dua jentera dan sebuah kenderaan utiliti dikerah bersama tujuh anggota ke lokasi kejadian yang terletak kira-kira 30 kilometer dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Marudu.

“Sebaik tiba, kebakaran didapati membabitkan dua rumah jenis kekal dan sebuah jenis tidak kekal.

“Operasi pemadaman segera dijalankan menggunakan dua pancutan dari satu aliran sepanjang 100 meter,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Menurutnya, api kebakaran berjaya dikawal pada jam 6.33 pagi daripada terus merebak ke empat lagi rumah, masjid, tadika kemas dan rumah perusahaan burung walet berhampiran.

“Operasi tamat jam 10 pagi tadi selepas dipastikan tiada lagi punca api yang boleh mencetuskan kebakaran semula.

“Tiada kecederaan atau kemalangan jiwa dilaporkan dan siasatan masih dilakukan bagi mengenalpasti punca kebakaran serta jumlah kerugian,” katanya./beritasabah.com

Kongsikan Berita Ini

Tinggalkan Komen Anda