Berita Semasa

LIEW SEKALI LAGI MENYERU WARGA TAWAU PATUHI PKP

image

TAWAU: Ahli Parlimen Tawau, Datuk Christina Liew, sekali lagi menyeru orang ramai khususnya warga Tawau agar terus berada di rumah dan tidak melanggar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang kini dilanjutkan sehingga 12 Mei depan.

Katanya, adalah lebih baik rakyat mematuhi apa yang boleh atau tidak seperti yang terkandung dalam panduan PKP daripada mengambil risiko dihukum, dihadapkan ke mahkamah atau lebih teruk lagi dipenjarakan kerana melanggari PKP.

“Saya mengulangi seruan saya kepada seluruh warga Tawau, jangan kita ingkar dengan PKP, kita haru mengelak daripada potensi risiko jangkitan Covid-19, jadi tolonglah terus berada di rumah kecuali anda mempunyai kecemasan atau perkara penting untuk keluar, atau juga jika perlu menerima rawatan perubatan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Liew yang juga Timbalan Ketua Menteri Sabah turut mengingatkan orang ramai supaya tidak menyalahgunakan surat rasmi yang keluarkan pihak berkaitan yang membenarkan mereka keluar daripada rumah untuk perkara tertentu.

“Jangan salah gunakan surat seperti itu untuk bergerak bebas ketika tempoh PKP ini jika anda tidak bertugas. Kita tidak mahu melihat tragedi yang berlaku Jumaat lalu berulang kembali,” katanya.

Beliau merujuk kepada kes seorang pekerja kontrak TM yang terbunuh dalam kemalangan di Tawau di mana ketika itu mangsa tidak diarah menjalankan apa-apa tugas rasmi.

“Saya telah dimaklumkan mengenai kejadian itu dan ianya sangat dikesali,” katanya lagi./beritasabah.com

Kongsikan Berita Ini

Tinggalkan Komen Anda