Jenayah

Pergi 'kenduri' didapati membawa dadah

image
DUA lelaki disyaki pengedar dadah kecilan ditahan dalam rondaan Op Covid-19 di Jalan Kopungit, di sini, malam tadi.

Dalam kejadian jam 10 malam itu, kedua-dua lelaki berusia 30-an yang mengaku baru selesai dari menghadiri majlis kenduri di Papar ditemui bersama bekalan syabu dan peralatan menagih dadah.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu Asisten Komisioner Habibi Majinji berkata, ketika ditahan polis turut menemui alat penimbang yang dipercayai untuk digunakan bagi urus niaga dadah berkenaan.

Katanya, kedua-dua lelaki terbabit kemudiannya terus ditahan dan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu untuk tindakan selanjutnya.

"Bagaimanapun, pemeriksaan lanjut dilakukan polis menemui tiga lagi paket plastik berisi ketulan hablur dipercayai dadah diselitkan di seluar dalam salah seorang suspek.

"Dadah yang dirampas adalah seberat 16.36 gram yang dianggarkan bernilai RM2,454 berdasarkan harga pasaran semasa," katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Habibi berkata, hasil ujian saringan air kencing yang dijalankan terhadap kedua-dua suspek didapati positif dadah jenis methaphetamine dan mereka kini ditahan reman untuk siasatan lanjut.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 39A (1) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 12(2) akta yang sama. - Harian Metro
Kongsikan Berita Ini

Tinggalkan Komen Anda