Jenayah

DUA KELUARGA DITAHAN KERANA IGKAR PKP

image

BEAUFORT: Mengaku faham arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dikuatkuasakan, namun tetap ingkar dengan keluar rumah lebih daripada seorang untuk membeli barang keperluan.

Itu pengakuan lima individu dari dua keluarga yang ditahan polis selepas didapati melanggar arahan PKP dalam pemeriksaan ‘snap check’ di Jalan Padas Utama, di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Beaufort Deputi Superintendan Azmir Abd Razak berkata, kes pertama membabitkan tiga sekeluarga yang ditahan jam 12.40 tengah hari.

Katanya, tiga sekeluarga berusia 25 hingga 52 tahun yang mengaku keluar bersama untuk membeli barangan dapur di sebuah pasar raya di pekan ini.

“Ketiga-tiga mereka mengaku faham implikasi melanggar PKP dan mereka kemudiannya dibawa balik ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Beaufort untuk tindakan selanjutnya.

“Dalam kes berasingan yang dilaporkan berlaku 12 tengah hari sebelum itu, seorang lelaki, 38, ditahan bersama anak perempuannya berusia 15 tahun.

“Lelaki itu mengaku faham akan implikasi melanggar PKP namun tetap keluar lebih dari seorang untuk mendapatkan barang keperluan,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.



Azmir berkata, kedua-dua keluarga itu ditahan dan akan disiasat mengikut Peraturan 4(1)(a)(ii) Peraturan-Peraturan Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Berjangkit) 2020.

Katanya, orang ramai perlu sedar implikasi dan kesan sekiranya melanggar arahan ini kerana ia membabitkan kepentingan awam.

“Arahan ini dikuatkuasakan dalam usaha kita untuk memerangi penularan wabak Covid-19.

“Oleh itu, kita minta orang ramai di daerah ini beri kerjasama supaya sentiasa patuhi arahan PKP dan polis bertindak tegas menangkap mereka yang ingkar,” katanya./BERITA SABAH

Kongsikan Berita Ini

Tinggalkan Komen Anda