Jenayah

INGKAR PKP, SABUNG AYAM DAN MAIN JUDI KETAM-KETAM

image

TENOM: Walaupun menyedari Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sedang dilaksanakan, sekumpulan lelaki bukan sahaja ingkar keluar rumah malah berkumpul dengan melakukan aktiviti sabung ayam dan judi ketam-ketam.

Bagaimanapun tindakan sekumpulan lelaki itu membawa padah apabila diserbu polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tenom, di sebuah kebun di Kampung Mampusu, di sini, jam 2.50 petang tadi.

Ketua Polis Daerah Tenom, Deputi Superintendan Hasan Majid berkata, ketika tiba di lokasi itu, didapati sekumpulan hampir 10 hingga 15 lelaki sedang berkumpul dipercayai sedang melakukan aktiviti sabung ayam.

“Menyedari kehadiran polis, semua mereka bertempiaran lari meninggalkan tempat berkenaan. Namun tiga lelaki berusia 55 hingga 80 tahun berjaya ditahan.

“Polis yang diketuai Bahagian Siasatan Jenayah IPD Tenom Inspektor Mohd Roezaidie turut merampas tiga ekor ayam sabung,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurutnya, hasil pemeriksaan terhadap salah seorang tangkapan menemui peralatan perjudian ketam-ketam.

“Siasatan awal mendapati semua suspek yang ditahan mengaku terbabit aktiviti sabung ayam dan judi ketam-ketam untuk menghilangkan perasaan bosan duduk di rumah.

“Tangkapan dan rampasan kemudian dibawa ke IPD Tenom untuk tindakan lanjut,” katanya.

Hasan berkata, selain melakukan aktiviti sabung ayam dan judi ketam-ketam, tangkapan didapati gagal menerangkan tujuan dan sebab-sebab munasabah keberadaan mereka di lokasi berkenaan.

“Semua suspek kini ditahan untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 269 Kanun Keseksaan, Peraturan 11 (1) Peraturan – Peraturan Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempat Jangkitan (No.3) 2020.

“Kes turut disiasat mengikut Seksyen 21 Enakmen Kebajikan Haiwan 2015 dan Seksyen 7(2) Akta Rumah Judi Terbuka 1953,” katanya./BERITA SABAH

Kongsikan Berita Ini

Tinggalkan Komen Anda