Berita Semasa

Gereja tidak akan melaksanakan perkahwinan secara 'online'

image

KUCHING: Pihak Gereja Roman Katolik tidak akan mengendalikan sebarang upacara perkahwinan secara atas talian untuk pasangan Kristian yang mahu berkahwin.

Justeru, penganut agama Kristian di Sarawak khususnya digesa menundakan upacara perkahwinan mereka sehingga tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berakhir dan apabila keadaan sudah benar-benar selamat.

Uskup Agung Gereja Roman Katolik Simon Poh berkata, walaupun tempoh PKP berakhir pada satu tempoh yang akan diumumkan nanti, namun apa-apa upacara yang melibatkan aktiviti berkumpulan akan dihadkan bagi memastikan tiada lagi penularan jangkitan wabak COVID-19.

“Kami telah bertanya kepada banyak pasangan yang bercadang untuk berkahwin dan mereka masing-masing bersetuju untuk menangguhkannya sehingga wabak COVID-19 berakhir.
"Pasangan terbabit mahu meraikan majlis perkahwinan mereka bersama-sama rakan-rakan dan saudara mara, justeru mereka sanggup menangguhkan upacara itu sehingga keadaan kembali selamat," katanya.

Dalam pada itu, Simon menegaskan bahawa pihak gereja tidak membuat keputusan untuk mengendalikan perkahwinan secara atas talian.

Beliau menegaskan bahawa mana-mana perkahwinan penganut Kristian hendaklah memenuhi kriteria yang telah ditetapkan oleh Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) sebelum boleh meneruskan upacara di gereja.

“Untuk majlis perkahwinan gereja ia mestilah dilakukan secara bersemuka dan perlu mendapatkan persetujuan secara peribadi antara lelaki dan wanita dan pada akhir setiap majlis perkahwinan, akan adanya pertukaran cincin

"Sekarang kita memang tidak akan mengendalikan sebarang majlis perkahwinan atas talian kerana ia tidak bersifat peribadi," tambah Simon.

Beliau berkata demikian ketika ditemu bual Astro AWANI pada Ahad.
Kongsikan Berita Ini

Tinggalkan Komen Anda