Berita Semasa

NIAT INGIN MANDI LAUT JADI TRAGEDI

image

TAWAU: Niat seorang lelaki mandi laut bertukar tragedi apabila ditemui lemas dalam kejadian di Kampung Sri Aman, Batu 3 ½, Jalan Apas, di sini, pagi tadi.

Mangsa dikenali sebagai Abd Mutalib Ali Hussin, 30, ditemui orang ramai dalam kejadian kira-kira jam 8 pagi itu.

Difahamkan, sebelum itu, mangsa memberi abangnya mengenai hasrat untuk mandi laut, namun mangsa dilarang kerana paras air laut yang dalam dan deras, selain mangsa dipercayai menghidap sakit sawan.

Ketua Polis Daerah Tawau Asisten Komisioner Peter Umbuas, berkata abang mangsa kemudian keluar membeli barang dan mendapati mangsa sudah hilang sebaik pulang ke rumah.

“Setakat ini, kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut dan dipercayai berpunca akibat sawan,” katanya.

Sementara itu, Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia JBPM Sabah, berkata bomba menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 8.36 pagi tadi.

“Mayat mangsa ditemui penduduk pada jam 8.42 pagi sebelum anggota bomba tiba di lokasi.

“Operasi tamat pada jam 10.10 pagi. Mayat mangsa diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut,” katanya./BERITA SABAH

Kongsikan Berita Ini

Tinggalkan Komen Anda