Jenayah

TIGA DITAHAN INGKAR PKP DAN KHAYAL SYABU

image

SIPITANG: Tiga individu termasuk seorang wanita bukan sahaja ingkar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), malah dalam keadaan khayal syabu ketika ditahan dalam sekatan jalan raya Op Covid-19 di Kampung Merintaman, di sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 5 petang itu, ketiga-tiga suspek menaiki kenderaan Perodua Alza ditahan anggota polis untuk pemeriksaan kerana dalam keadaan mencurigakan.

Hasil pemeriksaan mendapati suspek lelaki berusia 28 dan 32 tahun tidak mempunyai dokumen pengenalan diri dipercayai warga Filipina manakala wanita tempatan berusia 37 tahun.

Ketua Polis Daerah Sipitang Champin Piuh berkata, ketika ditahan semua suspek dalam keadaan khayal dan tidak tentu arah tujuan semua mereka.

“Hasil siasatan mendapati ketiga-tiga suspek disyaki baru sahaja menghisap dadah jenis syabu kerana ketika ditahan mereka masih dalam keadaan khayal.

“Semua suspek juga tidak tentu tujuan ketika PKP masih dikuatkuasakan yang sudah memasuki fasa ketiga,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurutnya, ketiga-tiga tangkapan dibawa ke Ibu Pejabat Daerah (IPD) Sipitang untuk siasatan lanjut.

“Siasatan mendapati juga wanita terbabit baru dijatuhkan hukuman oleh mahkamah mengikut Seksyen 11(1) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 2020 dan dijatuhi hukuman kerja sosial cuci tandas tetapi ditangkap lagi atas kesalahan ingkar PKP.

“Semua suspek ditahan mengikut Peraturan 11 (1) Peraturan-peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempat Jangkitan) (No.3) 2020, Seksyen 6(1)(a) Akta Imigresen, Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.

Sementara itu, dalam kes berasingan, beliau berkata, pihaknya menahan seorang lelaki dan wanita berusia 34 dan 37 dan merampas 5.72 gram dadah jenis syabu di di sebuah rumah di Jalan Pantai Sindumin, jam 2 petang semalam.

“Kedua-dua suspek bersama barang kes dibawa ke IPD Sipitang untuk siasatan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksysn 39A(1) Akta Dadah Berbahaya 1952.

“Orang ramai juga dinasihatkan supaya mematuhi PKP dan duduk di rumah jika tidak ada urusan penting,” katanya./BERITA SABAH

Kongsikan Berita Ini

Tinggalkan Komen Anda