Jenayah

Taktik edar dadah waktu pagi gagal kaburi mata pihak berkuasa

image
LANGKAWI: Taktik tiga pengedar dadah menukar waktu kegiatan haram mereka pada waktu pagi untuk mengaburi pihak berkuasa dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) gagal dan mereka ditahan di Kampung Pasir Hitam di sini, semalam (Sabtu, 25 April).

Ketua Polis Daerah Langkawi, Supt Mohd Iqbal Ibrahim berkata tiga individu berusia 21 hingga 26 tahun itu ditahan di hadapan sebuah rumah di kampung itu bersama sejumlah dadah pada kira-kira 3.20 pagi (25 April).

"Hasil pemeriksaan, anggota polis berjaya menemukan satu plastik lutsinar (mengandungi) dadah jenis heroin seberat 26.26 gram, tiga keratan straw (mengandungi) dadah jenis heroin seberat 1.03 gram dan tujuh plastik (berisi) dadah jenis syabu dianggarkan seberat 2.66 gram.

"Ketiga-tiga suspek ditahan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Peraturan 11(1) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-langkah di dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Mohd Iqbal berkata dua daripada suspek memiliki rekod jenayah lampau berkaitan dadah selain hasil ujian air kencing mereka bertiga positif dadah jenis morfin.

"Ketiga-tiga suspek kini direman tujuh hari untuk siasatan lanjut," katanya.

-- BERNAMA
Kongsikan Berita Ini

Tinggalkan Komen Anda