Berita Semasa

Tiada kes kematian hari ini, 100 kes pulih, 38 kes baharu : COVID-19

image

PUTRAJAYA : Malaysia terus mencatatkan perkembangan yang positif apabila tiada kes kematian melibatkan COVID-19 dilaporkan pada hari ini (26 April 2020).

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, ini menjadikan jumlah kes kematian akibat virus itu kekal sebanyak 98 kes.

"Daripada maklumat terkini yang dilaporkan ke Crisis Preparedness and Response Centre (CPRC) Kebangsaan, dimaklumkan bahawa tiada pertambahan kes kematian berkaitan COVID-19 hari ini. Justeru, jumlah kumulatif kes kematian COVID-19 di Malaysia adalah kekal sebanyak 98 kes (1.70 peratus daripada jumlah keseluruhan kes)," katanya dalam sidang media harian, di sini pada Ahad.

Pada masa sama, 100 kes COVID-19 telah pulih dan dibenarkan discaj pada hari ini, menjadikan jumlah kumulatif kes pulih sepenuhnya adalah sebanyak 3,862 kes (66.8 peratus daripada jumlah keseluruhan kes).
"Justeru, bilangan kes yang didiscaj hari ini adalah lebih dua kali ganda bilangan kes baru yang dilaporkan," tambahnya.

Pada masa sama, terdapat 38 kes baharu yang telah dilaporkan, menjadikan jumlah kes positif COVID-19 di Malaysia adalah sebanyak 5,780 kes.

"Oleh itu, jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan COVID-19 adalah 1,820 kes. Mereka telah diasingkan dan diberi rawatan. 

"Sehingga kini, seramai 36 kes positif COVID-19 sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU). Daripada jumlah tersebut, 15 kes memerlukan bantuan pernafasan," ujar Dr Noor Hisham lagi.
Kongsikan Berita Ini

Tinggalkan Komen Anda