Berita Semasa

Polis memburu seorang lelaki tetak adik dengan parang panjang

image

TELUK INTAN: Polis sedang memburu seorang lelaki yang menetak adik kandungnya menggunakan parang panjang ketika bergaduh di rumah mereka di Jalan Sekolah Kebangsaan Kota Setia di sini, petang Jumaat.


Ketua Polis Daerah Perak Tengah, Superintendan Barudin Wariso berkata, suspek berusia 42 tahun yang bekerja dengan sebuah syarikat di Subang, melarikan diri selepas dikatakan menetak mangsa berusia 38 tahun sebanyak lima kali.


Menurutnya kejadian berlaku kira-kira jam 7 petang di bahagian dapur rumah mereka selepas mangsa, seorang mekanik motosikal dikatakan menegur suspek yang memarahi ibu mereka, menyebabkan wanita itu menangis.

“Keluarga mangsa telah membawa mangsa yang ditetak ke hospital berdekatan untuk mendapatkan rawatan,” katanya di sini, hari ini.

Menurutnya, mangsa mengalami kecederaan luka akibat di tetak dengan parang di bahagian jari tangan kiri, lengan kiri, kaki kiri dan belakang badan.

“Mangsa telah dibawa ke bilik pembedahan untuk pembedahan kecil di bahagian jari tangan kiri,” ujarnya.
Kes disiasat di bawah Seksyen 326 & 326A Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja menyebabkan kecederaan parah dengan menggunakan senjata atau lain-lain benda yang merbahaya.

Sementara itu, dalam kejadian berasingan, polis memberkas seorang lelaki berusia 32 tahun kerana memukul dua adik perempuannya menggunakan batang penyapu di kedai makan milik ibu mereka di Jalan Ulu Dedap, Kampung Gajah, kira-kira jam 2.40 petang Jumaat.

Barudin berkata, punca kejadian kerana adik suspek, pelajar berusia 15 tahun yang hendak menyapu sampah di ruang rehat kedai dikatakan menganggu suspek yang sedang tidur mengakibatkannya mengamuk.

Seorang lagi adik suspek berusia 19 tahun, seorang pekerja kilang yang cuba meleraikan pertengkaran tetapi kedua-dua mereka dipukul dengan sebatang penyapu di beberapa bahagian badan.

Menurutnya, suspek juga dikatakan mengambil cangkul dan menghala cangkul tersebut ke arah dua adiknya tetapi dimarahi ibunya.

“Dia kemudiannya menghalakan cangkul tersebut mahu memukul ibunya yang sedang berbaring tetapi sempat bangun dan mengelak,” ujarnya.

Kes disiasat di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja menyebabkan cedera dengan jelas menggunakan senjata atau lain-lain benda yang merbahaya.
Kongsikan Berita Ini

Tinggalkan Komen Anda