Bisnes

Maxis mencatat untung bersih RM358 juta suku pertama

image

KUALA LUMPUR: Maxis Berhad merekodkan untung bersih RM358 juta bagi suku pertama berakhir 31 Mac 2020 dengan pendapatan suku berkenaan meningkat lima peratus kepada RM2.34 bilion.

Dalam satu kenyataan pada Jumaat, syarikat itu memaklumkan segmen mobil terus berdaya tahan dengan pertumbuhan positif langganan pasca bayar sekali gus mencerminkan kejayaan usaha syarikat memindahkan penggunaan pra bayar kepada pasca bayar.

Langganan bagi pasca bayar meningkat 13.7 peratus tahun ke tahun menjadikan angka keluruhan berjumlah 3.4 juta, sekali gus memacu pertumbuhan purata pendapatan setiap pengguna (ARPU).

Bagi segmen fiber, Maxis menyaksikan pertumbuhan langganan yang konsisten melibatkan pakej keluarga dan perniagaan kecil.
Sambungan fiber menyaksikan pertumbuhan 40 peratus tahun ke tahun untuk berada pada 392 ribu sambungan.

“Kami mencatatkan keputusan yang baik untuk keseluruhan Q1 walaupun dilanda kesan awal COVID-19. Kami terus menerajui pasaran mudah alih dan meraih pertumbuhan kukuh dalam segmen fiber, mengesahkan momentum mantap ke arah cita-cita konvergen kami.

“Melangkah ke hadapan, kami menjangkakan keadaan COVID-19 akan berolah dan kami akan terus menilai kesannya terhadap operasi kami,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Maxis Gökhan Ogut.

Pada suku sama, hasil perkhidmatan dasar (tidak termasuk borong) tumbuh 2.8 peratus kepada RM1.9 bilion didorong oleh perniagaan mudah alih yang mantap dan pertumbuhan konvergen yang konsisten.

EBITDA dinormalisasi kekal sihat pada RM920 juta, 3.5 peratus lebih rendah daripada RM953 juta yang dicatatkan suku sama tahun sebelumnya.
Kongsikan Berita Ini

Tinggalkan Komen Anda