Berita Semasa

LANJUTAN PKP UNTUK KEBAIKAN MENYELURUH : MADIUS

image

TUARAN: Pelanjutan tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) merupakan satu langkah yang perlu untuk kebaikan menyeluruh.

Timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tangau berkata, beliau bersetuju dengan keputusan kerajaan persekutuan yang diumumkan Perdana Menteri Tan Sri Muhyidin Yassin semalam.

“Sebenarnya pada masa ini persoalannya bukan tentang bila PKP ini perlu dihentikan, tetapi bagaimana ia perlu dihentikan.

“Sebagai contoh kita ada 100,000 pelajar yang perlu balik dan 13,000 daripadanya adalah berasal dari Sabah. Jumlah ini bukan sikit dan kita mahu tahu bagaimana prosedurnya; sudah pasti salah satu ialah memerlukan sebuah tempat yang mampu menampung untuk tujuan kuarantin 14 hari,” katanya.

Madius yang juga Ahli Parlimen P170 Tuaran berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan bantuan Ahli Parlimen berupa beras dan makanan kering di Tamparuli dan Kiulu, di sini, hari ini.

Madius (tengah) menyampaikan bantuan kepada salah seorang wakil penerima di Kiulu. Turut kelihatan Joisin (dua kanan)

Semalam, Perdana Menteri telah mengumumkan PKP dilanjutkan ke fasa ke-4 iaitu pada 29 April hingga 12 Mei 2020.

Sehubungan itu Madius mengigatkan semua pihak agar terus memainkan peranan masing-masing dalam memastikan rantaian Covid-19 dapat diputuskan.

“Sudah pasti selepas tamat PKP kelak, kehidupan kita juga akan berubah. Tidak ada lagi kebiasaan untuk saling bersalaman jika terjumpa sahabat atau kenalan dimana-mana.

“Buat masa ini kita terus patuhi semua arahan pihak berwajib, amalkan langkah-langkah pencegahan dan jaga kebersihan diri,” tambahnya.

Terdahulu, Madius yang juga Menteri Perdagangan dan Perindustrian (MTI) Sabah turut menyampaikan watikah pelantikan Jawatankuasa Kemasyarakatan Dalam Bandar (JKDB) bagi Pekan Tamparuli dan Pekan Kiulu. Watikah itu masing-masing diterima oleh pengerusi yang dilantik iaitu Chia Ching Hun (Tamparuli) dan Yaw Yuk Kui @ Beatrice Yaw (Kiulu).

Chia Ching Hun (kiri) menerima watikah pelantikan JKDB Tamparuli sambil disaksikan Herman (dua kiri)

Hadir sama, setiausaha politiknya Joisin Romut dan Penolong Pegawai Daerah Kecil Tamparuli, Herman Tungginging./BERITA SABAH

Beatrice Yaw (kanan) menerima watikah pelantikan JKDB daripada Madius (kiri) sambil disaksikan Joisin (tengah)
Kongsikan Berita Ini

Tinggalkan Komen Anda