Jenayah

CUBA PAKAI BAJU CELORENG UNTUK LEPAS SEKATAN JALAN

image

KOTA KINABALU: Tindakan seorang lelaki yang cuba memperdayakan petugas sekatan jalan raya Op Covid-19 dengan memakai baju celoreng untuk melepasi sekatan berkenaan gagal apabila dia ditahan dalam kejadian di Batu 7, Jalan Tuaran, di sini, kelmarin.

Dalam kejadian jam 1.51 petang itu, lelaki berusia 30-an terbabit dikatakan menunggang motosikal Honda EX5 menuju ke Kampung Inanam Laut, Inanam untuk berjumpa bapa saudaranya.

Bagaimanapun, sebaik sampai di sekatan jalan raya, lelaki terbabit terus ditahan selepas dilihat dalam keadaan mencurigakan.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu Asisten Komisioner Habibi Majinji berkata, soal siasat mendapati, suspek bukan anggota yang berkhidmat dalam Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Katanya, sebaliknya baju berkenaan diperoleh daripada bapa saudara suspek.

“Polis mengesyaki tujuan suspek memakai baju berkenaan adalah untuk membiarkan petugas sekatan jalan raya mempercayai dirinya sebagai anggota frontliner supaya dapat melepasi sekatan jalan raya.

“Suspek mengaku dalam perjalanan dari Taman Sri Rugading Tuaran ke Kampung Inanam Laut, Inanam untuk berjumpa dengan bapa saudara suspek,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Habibi berkata, suspek disyaki dengan sengaja tidak mematuhi perintah yang dikeluarkan sebagaimana mengikut perintah pencegahan dan pengawalan penyakit berjangkit (pengisytiharan kawasan tempatan jangkitan) 2020.

“Perbuatan cuai suspek mungkin berpotensi merebakkan jangkitan penyakit yang merbahaya kepada nyawa, kesihatan dan keselamatan manusia.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 269 Kanun Keseksaan dan Peraturan 11(1) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 2020,” katanya./BERITA SABAH

Kongsikan Berita Ini

Tinggalkan Komen Anda