Jenayah

SEORANG LELAKI MILIKI BAKAKUK DAN DADAH DITAHAN

image

SIPITANG: Seorang lelaki ditahan polis kerana memiliki senapang buatan sendiri jenis bakakuk bersama lima butir peluru hidup dalam serbuan di rumah pekerja kebun Kelapa Sawit di Sungai Tepewah Bamban, di sini, kelmarin.

Suspek berusia 50-an itu ditahan sepasukan polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sipitang, kira-kira jam 2 petang.

Ketua Polis Daerah Sipitang, Deputi Superintendan Champin Piuh berkata, bertindak atas maklumat, beliau sendiri bersama anggota polis membuat serbuan di sebuah rumah kosong dipercayai pekerja kebun kelapa sawit.

“Hasil serbuan itu menahan seorang lelaki dan merampas senapang bakakuk bersama lima butir peluru hidup.

“Turut dirampas dadah jenis syabu berat kasar 0.55 gram,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Champin berkata, tangkapan dan rampasan dibawa balik ke IPD Sipitang untuk siasatan lanjut.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 8 Akta Senjata 1960 dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 12(1) akta sama,” katanya.

Menurutnya, pihaknya berusaha dan bekerja keras lagi untuk membanteras pengedaran dadah dan mengesan penagih khususnya di daerah ini.

“Polis juga sudah mengenalpasti identiti mereka di kawasan Bamban, Mendalong dan sekiranya.

“Mohon kerjasama warga Sipitang menyalurkan maklumat aktiviti pengedaran dan penagihan dadah di kawasan daerah ini,” katanya.

Sementara itu beliau turut mengingatkan masyarakat di daerah ini supaya patuh arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang kini dalam fasa 3.

“Polis bertindak tegas menangkap mereka yang ingkar dan lain-lain kesalahan terutama kegiatan dadah yang merosakkan belia di daerah ini,” katanya./BERITA SABAH

Kongsikan Berita Ini

Tinggalkan Komen Anda