Berita Semasa

PKP AKAN DILANJUTKAN LAGI SEHINGGA 12 MEI

image

KOTA KINABALU: Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, sebentar tadi, mengumumkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang sepatutnya dijangka berakhir pada 28 April, dilanjutkan untuk tempoh dua minggu lagi sehingga 12 Mei.

Dalam perutusan khas beliau yang disiarkan secara langsung di kaca televisyen itu, Muhyiddin berkata, dalam tempoh berkenaan, kerajaan akan terus menilai data-data daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk memutuskan langkah seterusnya.

“Saya tidak menolak PKP akan dilanjutkan lagi selepas ini, dan ini bermakna saudara-saudari tidak boleh menyambut hari raya seperti sebelum ini, tidak boleh bekerja seperti biasa.

“Walau bagaimanapun kalau kes menunjukkan penurunan yang ketara, kerajaan akan mempertimbangkan untuk melonggarkan beberapa sektor,” katanya.

Dalam pada itu, Muhyiddin turut mengumumkan para pelajar yang terkandas di institusi pengajian tinggi masing-masing akan dibenarkan untuk pulang ke rumah atau kampung halaman masing-masing dalam tempoh terdekat ini.

“Proses ini sedang dirancang, ia membabitkan hampir 100,000 orang dan ini kita kena rancang dengan teliti untuk memastikan ianya teratur dan tidak menyebabkan risiko jangkitan.

“Semua pelajar yang dibenarkan pulang juga akan dipastikan sihat dan tiada gejala Covid-19.

“Butiran terperinci akan diumumkan dalam masa terdekat, kepada ibu bapa, sabar dulu…beri sedikit masa kepada kementerian berkaitan, saya tahu anda semua rindukan anak-anak masing-masing,” katanya./BERITA SABAH

Kongsikan Berita Ini

Tinggalkan Komen Anda