Jenayah

BEKAS BANDUAN TUBUH ‘GENG LASTIK’ BERJAYA DITUMPASKAN

image

PENAMPANG: Dua anggota ‘Geng Lastik’ yang dipercayai aktif melakukan jenayah pecah rumah dan curi kenderaan di sekitar daerah ini, Kota Kinabalu, Papar, Tuaran dan Kota Belud berjaya ditumpaskan polis, baru-baru ini.

Nama ‘Geng Lastik’ itu diberikan kepada kumpulan terbabit kerana modus operandi mereka yang melastik batu ke tingkap rumah dan jika tiada tindak balas, mereka akan masuk dan melarikan kenderaan serta beberapa barang berharga.

Bagaimanapun, kumpulan terbabit akhirnya ditumpaskan dalam serbuan di sebuah pangsapuri, di Manggatal, Kota Kinabalu, pada 17 April lalu.

Ketua Polis Daerah Penampang, Deputi Superintendan Haris Ibrahim berkata, kejayaan ini hasil maklumat orang dan tindakan pantas pegawai dan anggota polis Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Penampang yang menahan dua ahli kumpulan terbabit manakala seorang lagi masih diburu.

“Dua yang ditahan berusia 27 dan 37 tahun manakala seorang lagi yang masih bebas dikenali sebagai Eddy Christopher Jinni, 34.

“Ketiga suspek ini dikatakan berkenalan ketika menjalani hukuman penjara bersama-sama pada 2014 dipercayai terbabit sekurang-kurangnya 14 kes pecah rumah dan curi kenderaan membabitkan kerugian bernilai RM838,000.

“Geng terbabit didapati aktif menjalankan kegiatan pecah rumah dan curi kenderaan di sekitar daerah ini, Kota Kinabalu, Papar, Tuaran dan Kota Belud,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media pada sidang media di IPD Penampang, hari ini.

Mohd Haris berkata, hasil siasatan juga mendapati kumpulan berkenaan menggunakan modus operandi dengan ‘melastik’ batu ke tingkap sasaran untuk memastikan rumah berkenaan ditinggalkan penghuni.

“Selain memecah masuk untuk melarikan barang berharga, geng ini juga akan turut melarikan kenderaan yang ditinggalkan oleh pemilik rumah.

“Setakat ini, polis berjaya merampas beberapa barangan berharga yang dicuri kumpulan berkenaan termasuk empat kenderaan yang dicuri sebelum ini.

“Antara kenderaan yang berjaya dirampas semula adalah Honda Jazz dan Honda HRV, Toyota Vios serta Isuzu D-Max,” katanya.

Mohd Haris berkata, mengikut siasatan juga, geng ini turut melakukan kegiatan jenayah ketika tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Dua suspek terbabit kini direman selama lima hari sehingga hari ini mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan untuk pecah rumah dan Seksyen 379A akta sama untuk kesalahan curi kenderaan.

“Sehubungan itu juga, orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung suspek yang masih bebas supaya tampil membantu siasatan,” katanya./BERITA SABAH

Kongsikan Berita Ini

Tinggalkan Komen Anda