Hiburan

INGKAR PKP UNTUK MELUAHKAN MASALAH CINTA

image

BEAUFORT: Gara-gara ingin ingin meluahkan masalah cinta, seorang lelaki dan wanita ditahan polis kerana didapati melanggari Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di lorong tepi sebuah bank, Beaufort Jaya, di sini, malam tadi.

Suspek lelaki berusia 18 tahun dan wanita berusia 19 tahun ditahan polis Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Beaufort ketika menjalankan tugas penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) jam 7.20 malam.

Ketua Polis Daerah Beaufort, Deputi Superintendan Azmir Abd Razak berkata, ketika polis menjalankan rondaan tugas PKP, membuat pemeriksaan ke atas pasangan lelaki dan wanita yang sedang bersembang di lorong berkenaan.

“Pemeriksaan mendapati lelaki itu sedang meluah perasaan mengenai masalah hubungan cinta antara dia dengan teman wanitanya kepada rakannya yang juga teman kepada kekasihnya di lorong tepi bank berkenaan.

“Tangkapan (wanita) pula adalah rakan sekerja kepada teman wanita tangkapan lelaki.

“Kedua-dua mereka kemudian ditahan kerana gagal memberi alasan yang munasabah berada di kawasan berkenaan,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Menurutnya, kedua-dua suspek turut mengetahui akan PKP dan faham akan implikasi serta kesan sekirannya ingkar dengan PKP.

“Akibat daripada tindakan kedua-dua suspek terbabit, mereka ditahan dan dibawa ke IPD Beaufort untuk tindakan lanjut.

“Dalam pengetahuan mereka, bahawa larangan itu masih berkuatkuasa tetapi mereka keluar rumah dan berada dalam sesuatu kawasan tanpa alasan yang munasabah,” katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 269 Kanun Keseksaan dan Peraturan 11(1) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 2020./BERITA SABAH

Kongsikan Berita Ini

Tinggalkan Komen Anda