Jenayah

2 Suspek kemaruk air ketum ditahan

image

HULU TERENGGANU: Dua pemuda yang keluar dipercayai untuk mendapatkan bekalan air ketum ketika perintah kawalan pergerakan PKP) COVID-19 berkuat kuasa menerima padah selepas diberkas polis.

Suspek yang bekerja sebagai buruh itu ditahan kira-kira jam 11 pagi Rabu di tepi jalan besar Kampung Durian Bador, di sini.

Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu, DSP Mohd Adli Mat Daud berkata sebelum ditahan suspek berusia 32 dan 23 tahun itu cuba melarikan diri dengan memecut motosikal yang dinaikinya.

Jelasnya, polis terus mengekori suspek dan beberapa kali memberi amaran sebelum mereka berjaya ditahan di tepi jalan.

Hasil pemeriksaan polis menemukan botol yang mengandungi cecair kehijauan dipercayai air ketum.

Mohd Adli berkata ujian saringan air kencing juga mendapati suspek positif dadah jenis methamphetamine.

Kes disiasat mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang penjawat awam menjalankan tugas dan Peraturan 11 (1) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Kawalan Penyakit Berjangkit (langkah-langkah di dalam kawasan tempatan jangkitan) 2020.

Kongsikan Berita Ini

Tinggalkan Komen Anda