Bisnes

COVID-19: Banyak Pesawat tersadai di darat, tak ubah seperti burung patah sayap

image

Industri penerbangan teruk terjejas akibat pembatalan pergerakan udara satu dunia yang berpunca daripada pandemik COVID-19.

Bagi syarikat yang 'patah sayap', kesemua pesawat yang dahulunya dimanfaat sepenuhya – hanya singgah sejam-dua di lapangan terbang sebelum berangkat terbang semula – kini terkandas dalam simpanan dan terdampar di daratan.

Aset bernilai beratus juta ringgit sebuah ini hanya memberi pulangan sekiranya bebas terbang ke sana ke mari.

Itupun jika penuh terisi penumpang dan hanya singgah sebentar setelah mendarat di lapangan terbang.

Sebaliknya, dalam keadaan tidak bergerak, pemilik terpaksa menanggung pelbagai kos penyimpanan, pengendalian dan pengurusan menanti masa ruang udara dibuka semula.

Sejak penularan virus korona diisytihar pandemik dunia, lebih 60 peratus atau hampir 16,000 pesawat penumpang terpaksa 'direhatkan' kerana tiada keperluan beroperasi membawa penumpang.
Selagi tidak diguna, pesawat tidak boleh dibiar tersadai kerana perlu bersedia diaktif sekiranya dunia pulih daripada pandemik.

Faktor utama adalah mencari ruang penyimpanan (storage parking) selamat dan kemudahan penyelenggaraan, melibatkan sistem hidraulik agar tidak membeku.

Selain itu, setiap ruang terbuka perlu ditutup agar burung tidak bersarang!

Sistem pengawalan penerbangan juga perlu dibalut rapi agar tidak berhabuk atau dihurungi serangga sepanjang masa pesawat itu tidak bergerak.

Kelembapan udara perlu dikawal kerana mampu merosakkan pendawaian, instrumen, hiasan dalaman dan kemungkinan karat.

Walaupun tidak bergerak, tangki minyak perlu berisi ke paras minimum kerana pesawat terdedah kepada kesan tiupan angin jika terlalu ringan, dan juga bagi tujuan lubrikasi.

Tayar kesemua pesawat dari sekecil Boeing 737 hingga sebesar Airbus A380 pula perlu diubah kedudukan (rotation) walaupun pesawat tidak bergerak. Ini memerlukan pesawat disorong (towed) ke tempat khas sementara gear pendaratan pula perlu ditambah cecari lubrikasi bagi tujuan tahan karat. Operasi ini perlu dilakukan paling kurang dua minggu sekali.

Kawasan lapang di gurun Australia dan Mojave Desert di Amerika Syarikat bersesuaian sebagai lokasi pilihan untuk simpanan jangka panjang.

Kekangan ruang menyebabkan syarikat penerbangan Singapura (SIA) dan Fiji Airways pula memilih lapangan menyimpan di Alice Springs untuk tujuan ini.

Kos menyimpan (parking) boleh mencapai AS$1,000 sehari bagi pesawat kapasiti besar.

Data dari Pertubuhan Pengangkutan Udara Antarabangsa (IATA) menunjukkan pendapatan syarikat penerbangan menguncup hampir sepertiga trilion dolar Amerika akibat pandemik COVID-19.

Sebanyak 25 juta pekerja juga bakal hilang punca pencarian.
Kongsikan Berita Ini

Tinggalkan Komen Anda