Jenayah

LAPAN ORANG INGKAR PKP DI LAUT DITAHAN

image

KOTA KINABALU: Lapan individu ditahan Pasukan Polis Marin (PPM) selepas didapati melanggar Perintah Kawalan Pergerakan (KPK) di kawasan Laut Pasar Malam Sinsuran, di sini, kelmarin.

Dalam kejadian jam 4.30 petang itu, sepasukan empat anggota PPM Kota Kinabalu yang membuat pemantauan menggunakan bot ronda RH51 menemui lapan individu terbabit berlegar di kawasan berkenaan.

Komander PPM Wilayah Enpat Sabah, Asisten Komisioner Mohamad Pajeri Ali berkata, hasil pemeriksaan awal mendapati semua individu terbabit berusia 17 hingga 32 tahun.

Katanya, semua individu berkenaan gagal memberikan alasan yang munasabah berhubung kehadiran mereka di lokasi berkenaan.

“Namun, kumpulan ini mendakwa ingin balik ke Pulau Gaya menggunakan sebuah bot yang diletakkan di jeti Sabah Fish Marketing (SAFMA).

“Pemeriksaan lanjut kemudiannya mendapati seorang daripada mereka adalah warganegara manakala selebihnya tidak mempunyai dokumen pengenalan diri,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mohamad Pajeri berkata, semua lapan individu terbabit diserahkan ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu untuk tindakan dan siasatan lanjut.

“Semua suspek ditahan mengikut Seksyen 22 Akta Pencegahan Dan Kawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) dan pengawalan penyakit Berjangkit (Langkah – Langkah di Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020,” katanya./BERITA SABAH

Kongsikan Berita Ini

Tinggalkan Komen Anda