Berita Semasa

Cari bekalan makanan masalah utama komuniti pekerja asing di malaysia

image

KUALA LUMPUR: Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilaksanakan sejak 18 Mac lalu untuk mengekang penularan COVID-19 di negara ini, turut memberi impak kepada golongan pekerja asing.

Lebih menyedihkan, terdapat laporan yang menyatakan ramai dalam kalangan mereka yang hilang pekerjaan apabila syarikat tidak dapat beroperasi sepanjang tempoh itu.

Tinjauan Astro AWANI bagaimanapun mendapati, masalah utama yang dihadapi mereka ketika ini ialah mendapatkan bekalan makanan.

"Kami tak berani hendak berjalan jauh. Walaupun mempunyai permit dan tinggal di sini secara sah, tetapi perasaan bimbang tetap ada melihat ramai polis dan anggota tentera berkawal," kata Moti Prasad, warga Nepal yang bekerja sebagai pengawal keselamatan.

Kebiasaannya, kata Moti, mereka akan makan di restoran kerana tidak mempunyai kelengkapan memasak di rumah.

"Tetapi sekarang banyak restoran yang tutup. Ada sebuah restoran yang dekat dengan rumah, tapi restoran itu jarang dibuka sekarang disebabkan PKP,"katanya.
Moti bagaimanapun memberitahu, dia dan rakan-rakannya tidak mempunyai masalah lain sepanjang PKP.

"Kami kerja dan dibayar gaji seperti biasa, malah majikan kami juga beri surat pengesahan untuk diserahkan kepada pihak berkuasa jika diminta.

"Selain daripada mencari bekalan makanan, kami tak ada masalah dengan kawalan pergerakan. Kami memang jarang keluar," tambahnya.

Ramai warga asing tidak berani keluar rumah sepanjang tempoh PKP. - Gambar hiasan/Bernama
Ramai warga asing tidak berani keluar rumah sepanjang tempoh PKP. - Gambar hiasan/Bernama


Seorang lagi warga Nepal, Udiram Giri, bimbang dengan situasi semasa kerana dia mungkin tidak dapat pulang ke kampung halaman.

"Saya sepatutnya pulang ke Nepal September ini, tetapi dengan keadaan sekarang, saya bimbang ia terpaksa dibatalkan.

"Kalau Malaysia benarkan perjalanan, tetapi Nepal tidak benarkan, kami tetap tak dapat pulang," katanya sambil memberitahu keluarga tidak risaukan keadaannya di sini.

"Mereka baca berita dan tahu Malaysia melakukan yang terbaik untuk mengawal wabak ini," katanya.

Seorang warga India, Abdul Rahman, mengakui mendapatkan bekalan makanan adalah masalah utama mereka, apatah lagi rumahnya di ibu negara terletak di kawasan dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).

"Dua minggu pertama PKPD kami diberi bahan asas untuk memasak seperti beras dan tepung, tetapi kini tiada lagi.

"Tetapi kami bernasib baik ada kedai yang dibuka dalam bangunan ini, jadi di situlah kami beli keperluan," katanya bekerja sebagai tukang cuci ketika dihubungi.

Abdul Rahman juga memaklumkan tidak mempunyai masalah berkaitan kerja kerana dia dan rakan-rakan masih dibayar gaji biarpun tidak boleh bertugas seperti biasa.

"Ada rakan yang bekerja di kedai kain dan kedai itu kini tidak beroperasi, tetapi mereka masih dibayar gaji walaupun separuh," ujarnya.
Kongsikan Berita Ini

Tinggalkan Komen Anda