Jenayah

650 ANGGOTA PPM KAWAL PERAIRAN SABAH SEPANJANG RAMADAN DAN AIDILFITRI

image

SANDAKAN: Seramai 650 anggota bersama 42 bot ronda akan ditugaskan untuk mengawal perairan negeri ini sepanjang musim Ramadan sehingga Aidilfitri.

Komander PPM Wilayah Empat Sabah, Asisten Komisoner Mohamad Pajeri Ali, berkata PPM juga bekerjasama dengan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) untuk memperkukuh kawalan.

Katanya, perancangan operasi itu adalah untuk mengekang dan memerangi jenayah rentas sempadan termasuk penyeludupan, kemasukan pendatang asing tanpa izin (PATI) dan sebagainya.

“Di samping menguatkuasakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), kita tidak abai perairan dan dalam perancangan pengoperasian, kita sudah rangka beberapa agenda untuk mengekang jenayah rentas sempadan.

“Kita juga tempatkan anggota selama 24 jam untuk berkawal di perairan,” katanya di sini, hari ini.

Sebelum itu, Mohamad Pajeri melakukan pemantauan penguatkuasaan PKP di kawasan perairan sempadan Malaysia-Filipina iaitu di sekitar Pulau Selingan, Pulau Libaran dan Pelabuhan Sandakan.

Beliau berkata, seramai 250 anggota bersama 15 bot ronda ditugaskan untuk mengawal perairan di kawasan Sandakan, Semporna dan Lahad Datu sepanjang tempoh PKP.

Berdasarkan pemantauan, katanya, tahap pematuhan komuniti di perairan terhadap PKP adalah memuaskan dengan pergerakan penduduk dari pulau ke darat dan darat ke pulau, serta aktiviti nelayan adalah terkawal.

“Hasil tinjauan juga, tiada kapal kumpit dilihat berada di sekitar tempat biasanya mereka berlabuh selepas kerajaan negeri melarang kapal itu memasuki perairan Sabah dalam tempoh PKP.

“Ini hasil komitmen yang baik daripada warga PPM untuk menjaga perairan negeri, serta kerjasama masyarakat,” katanya./BERITA SABAH

Kongsikan Berita Ini

Tinggalkan Komen Anda