Berita Semasa

ELAUN MPKK SATU PENGIKTIRAFAN : EWON

image

KOTA KINABALU: Elaun pengerusi dan setiausaha badan Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) merupakan satu pengiktirafan kewujudan dan sumbangan badan berkenaan sebagai institusi kepimpinan peringkat akar umbi di Sabah.

Oleh itu, Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah, Datuk Ewon Benedick, berkata pembayaran elaun itu tidak terikat kepada bayaran gaji minimum.

“Elaun MPKK adalah lebih berupa pengiktirafan atas pewujudan dan sumbangan badan MPKK sesuai dengan komposisi dan peranan sebagai institusi kepimpinan peringkat akar umbi seperti yang disarankan melalui garis panduan MPKK,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Likas Tan Lee Fatt yang bertanya apakah elaun kakitangan UPPM, MPKK, Ketua Kampung, Ketua-ketua Adat, Kapitan dan sebagainya akan dinaikkan kepada RM1,100.

Ewon yang juga Adun Kadamaian berkata, bagi kakitangan Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM) kakitangan UPPM iaitu Pegawai Kemajuan Masyarakat (CDO) dan Pemaju Mukim (PM), mereka bergaji di atas minimum yang telah dikuatkuasakan iaitu RM1,100 ke atas.
 
“Di samping itu, pihak Kementerian Undang-undang dan Hal Ehwal Anak Negeri juga telah menyatakan bahawa kebajikan Ketua-ketua Adat iaitu Ketua Daerah, Ketua Anak Negeri, Wakil Ketua Anak Negeri, Ketua Kampung dan Ketua Masyarakat Cina sememangnya diambil berat,” katanya.

Berhubung saranan untuk menaikkan elaun Ketua-ketua Adat selaras dengan kadar gaji minima, Ewon berkata, ia adalah pertimbangan kementerian berkenaan tertakluk kepada keadaan dan kedudukan kewangan Kerajaan Negeri Sabah./BERITA SABAH

Kongsikan Berita Ini

Tinggalkan Komen Anda