Berita Semasa

Polis hadkan pergerakan antara Penampang ke Kota Kinabalu

image
POLIS Sabah mengambil pendekatan terbaharu dengan mengehadkan pergerakan orang ramai antara dua daerah iaitu Penampang dan Kota Kinabalu.

Timbalan Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Mazli Mazlan berkata, tindakan itu diambil memandangkan Kota Kinabalu diisytiharkan sebagai zon merah Covid-19 sejak tiga hari lalu.

“Ini berkaitan dengan penetapan Kota Kinabalu sebagai ‘red zone’, jadi bila keadaan begitu, kita cuba untuk mengawal dan mengehadkan pergerakan orang awam ke kawasan bandar raya untuk mengekang supaya kawasan ini akan bertukar jadi kuning dan hijau semula.

“Ia salah satu cara bagaimana kita mengawal supaya kemasukan orang ramai ini ke Kota Kinabalu dengan alasan nak ke pasar ikan, pasar sayur,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas majlis penyerahan sumbangan makanan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah di Kota Kinabalu, hari ini.

Baru-baru ini, polis mengambil inisiatif untuk mengawal mana-mana pergerakan orang ramai untuk berkunjung ke Kota Kinabalu membabitkan beberapa daerah berdekatan.

Langkah itu adalah bagi memastikan penduduk setempat tidak lagi berbelanja barang keperluan di Kota Kinabalu sekali gus membendung penularan Covid-19 bersempena pelaksanaan PKP fasa ketiga.

Sementara itu, Mazli berkata, mengakui penambahan sektor essential service yang diumumkan kerajaan negeri baru-baru ini menyebabkan peningkatan jumlah kenderaan di seluruh negeri.

“Bagaimanapun kita cuma untuk mengawal (pertambahan kenderaan) daripada semakin meningkat dengan mengadakan penambahan sekatan jalan raya dan snap check setiap masa,” katanya. - Harian Metro
Kongsikan Berita Ini

Tinggalkan Komen Anda