Berita Semasa

Sabah mulakan kutipan cukai jualan 5 peratus ke atas produk petroleum sebelum atau pada 28 Mei ini

image

KOTA KINABALU, 21 April  — Kerajaan Sabah menjangka cukai jualan sebanyak lima peratus ke atas produk petroleum akan mula dikutip sebelum atau pada 28 Mei ini bagi penjualan yang dibuat pada April, kata Ketua Menteri Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.

Menteri Kewangan Sabah itu berkata Perintah Cukai Jualan (Kadar Cukai) 2018 ke atas produk petroleum iaitu minyak mentah petroleum dan gas asli/gas cecair telah diwartakan pada 6 Dis 2018, dan perintah tersebut dikuatkuasa pada 1 April, 2020 sebelum diwartakan dalam Warta Kerajaan bertarikh 2 April lepas.

Katanya Kementerian Kewangan Sabah melalui surat bertarikh 1 April, 2020 telah memaklumkan pengenaan cukai itu kepada sembilan syarikat yang merupakan pemilik berfaedah Kontrak Perkongsian Pengeluaran (PSC) termasuk Petronas Carigali Sdn Bhd; Petronas Floating LNG 1 (L) Limited.

Turut terbabit adalah Sabah Shell Petroleum Company Limited; dan Shell Energy Asia Limited; Hibiscus Petroleum Berhad; Repsol Oil & Gas Malaysia Limited; PTTEP Sabah Oil Limited; PT Pertamina Malaysia Eksplorasi Produksi; dan ConocoPhilips Sabah Limited.

“Kementerian Kewangan negeri juga telah memanjangkan surat sama kepada Petroliam Nasional Berhad (Petronas) yang merupakan pemilik aset blok minyak dan gas di Sabah dan berharap perhatian dan kerjasama dapat diberikan oleh pihak mereka,” katanya ketika menggulung ucapan dasar kerajaan Yang Dipertua Negeri Sabah Tun Juhar Mahiruddin dalam persidangan Dewan Undangan Negeri Sabah, hari ini.

Mohd Shafie berkata seperti cukai lain yang sedang dikenakan contohnya minyak sawit mentah, cukai jualan negeri ke atas produk petroleum juga tertakluk kepada Enakmen Cukai Jualan Negeri 1998 dan Peraturan-Peraturan Cukai Jualan Negeri 1999.

Justeru itu, Mohd Shafie berkata, selaras dengan Seksyen 10(1), Enakmen Cukai Jualan Negeri 1998, syarikat-syarikat terbabit telah diminta untuk memohon lesen cukai jualan negeri dan mendaftar sebagai orang yang kena membayar cukai dengan Kementerian Kewangan Sabah.

‘Tiada seseorang pun boleh menjalankan mana-mana perniagaan menjual atau membekalkan produk petroleum dikenakan cukai melainkan jika pihak tersebut memiliki lesen cukai jualan negeri,” katanya.

Setakat 20 April 2020, Mohd Shafie berkata, Kementerian Kewangan Sabah telah menerima satu permohonan lesen dan juga telah dihubungi oleh tujuh daripada sembilan syarikat pemilik berfaedah PSC untuk mendapatkan maklumat lanjut.

Panduan ke atas cukai tersebut juga telah diedarkan kepada kesemua syarikat-syarikat berkaitan termasuklah Petronas, katanya.

Beliau berkata menjadi satu kesalahan di bawah Seksyen 31 Enakmen Cukai Jualan Negeri 1998 sekiranya orang dikenakan cukai gagal atau enggan berdaftar, jika sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM50,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya.

Dalam pada itu, Mohd Shafie berkata, berdasarkan harga minyak dalam lingkungan US$24 setong, kerajaan negeri yakin Sabah mampu memperoleh hasil daripada royalti minyak dan cukai jualan tersebut kira-kira RM1.6 bilion pada akhir tahun.

“Setiap bulan daripada cukai jualan lima peratus ini, saya anggarkan dalam kadar US$24 setong, mungkin dalam lingkungan RM50 juta sebulan hasil untuk kerajaan negeri,” katanya.

— BERNAMA

Kongsikan Berita Ini

Tinggalkan Komen Anda