Bisnes

Tiada Sebarang pembatalan program dan projek Kerajaan Persekutuan di Sabah: Shafie

image

KOTA KINABALU: Semua projek pembangunan di Sabah yang dilaksanakan di bawah pembiayaan Kerajaan Persekutuan dalam Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK11) akan diteruskan melalui mekanisme jabatan atau agensi negeri dan Persekutuan.

Ketua Menteri Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata setakat ini tidak ada arahan dari Kerajaan Persekutuan untuk membatalkan atau menarik balik projek diluluskan sebelum ini memandangkan tahun ini adalah tempoh terakhir dalam pelaksanaan RMK11.

“Saya pasti sebahagian projek Kerajaan Persekutuan dalam RMK11 sudah disiapkan, tambahan pula jabatan dan agensi kementerian terbabit sentiasa mengadakan libat urus (engagement) berterusan di peringkat Persekutuan.

“Langkah itu bagi memastikan semua projek yang sedang dilaksanakan dapat disiapkan mengikut jadual ditetapkan selain kerajaan negeri juga memantau pelaksanaan projek-projek tersebut sekiranya terdapat masalah daripada segi kewangan dan bekalan,” katanya pada sesi soal jawab semasa sidang Dewan Undangan Negeri (Dun) Sabah Ke-15 di sini, hari ini.

Mohd Shafie berkata demikian semasa menjawab soalan Datuk Abidin Madingkir (Upko-Paginatan) mengenai apakah tindakan kerajaan negeri bagi memastikan segala pembangunan yang sedang dilaksanakan kerajaan negeri atas biayaan Kerajaan Persekutuan dapat diteruskan.

Bagi memastikan program dan projek yang dicadangkan dalam RMK12 dipertimbangkan oleh Kerajaan Persekutuan, Mohd Shafie berkata kerajaan negeri mengambil pendirian untuk bekerjasama secara menyeluruh dengan Kerajaan Persekutuan melalui makenisma kerajaan kepada kerajaan (G to G).

Sehubungan itu, katanya semua kementerian, jabatan dan agensi negeri perlu mengemukakan cadangan program dan projek RMK12 melalui Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) sebelum dikemukakan kepada kementerian Persekutuan yang berkaitan selaras dengan arahan dalam Garis Panduan Penyediaan Rancangan Malaysia Kedu Biayaan Persekutuan yang telah dikeluarkan pada 19 Disember 2019.

“Pihak UPEN akan mengemukakan perakuan dan syor program dan projek ini kepada Unit Perancang Ekonomi Persekutuan, Jabatan Perdana Menteri dan kementerian-kementerian Persekutuan berkaitan untuk pertimbangan di peringkat Persekutuan.

“Kesemua permohonan yang dikemukakan ini adalah selaras dengan halatuju dan keutamaan pembangunan kerajaan negeri Sabah,” jelasnya.

Sehubungan itu, beliau berkata kerajaan negeri positif bahawa semua program dan projek yang telah dikemukakan akan mendapat pertimbangan yang sewajarnya oleh Kerajaan Persekutuan agar Sabah tidak ketinggalan dari segi bantuan pembangunan daripada Kerajaan Persekutuan. – SabahNewsToday

Kongsikan Berita Ini

Tinggalkan Komen Anda