Berita Semasa

PEMUDA UPKO : KURANGKAN ATAU TANGGUH BAYARAN PARA PENYEWA RUMAH

image

KOTA KINABALU: Pergerakan Pemuda UPKO berharap pemilik rumah yang menyewakan kediaman mereka kepada orang lain supaya lebih bertolak ansur dengan mengurangkan atau menangguhkan bayanan bulanan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini.

Setiausaha Penganjur Pemuda UPKO Nasional, Jamil Majingkin (Gambar) berkata, pihaknya menerima banyak aduan orang ramai dalam kalangan penyewa yang menerima tekanan daripada pemilik rumah.

Katanya, mereka mendakwa terpaksa melunaskan sewa bulanan walaupun rata-rata pendapatan mereka terjejas ekoran pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Harus diingat, kerajaan sudah mengarahkan pelaksanaan moratorium pembayaran balik pembiayaan pinjaman perumahan dari bank.

“Sudah tentu situasi ini amat dikesali lantaran seperti terhakisnya sifat keihsanan dan timbang rasa sedangkan semua maklum ramai yang hilang punca pendapatan sepanjang PKP ini,” katanya dalam kenyataan, di sini, hari ini

Jamil berkata, perkembangan ini memerlukan campur tangan segera kerajaan dengan memperkenalkan peraturan atau undang-undang yang dapat memelihara hak penyewa dan pemilik rumah, sebagaimana yang dilakukan oleh banyak negara ketika ini.

Katanya, apa yang menjadi kebimbangan sekiranya situasi ini gagal dibendung, ramai keluarga akan kehilangan tempat tinggal dan boleh membawa kepada permasalahan yang lain.

“Sikap rakus sebilangan pemilik rumah yang hanya memikirkan soal keuntungan semata-mata harus ditangani dalam kadar segera.

“Sebaiknya, kurangkan ataupun menangguhkan sewaan dalam tempoh PKP supaya kepayahan dan kesulitan menghadapi Covid-19 ketika ini dapat dilalui bersama,” katanya.

Jamil berkata, Pemuda UPKO ingin menyeru kepada para pemilik rumah supaya dapat menggunakan budi bicara dan menzahirkan sifat keihsanan kepada para penyewa./BERITA SABAH

Kongsikan Berita Ini

Tinggalkan Komen Anda