Jenayah

CUBAAN SELUDUP MINYAK, BARANG KAWALAN DIGAGALKAN PIHAK POLIS

image

SANDAKAN: Cubaan empat warga Filipina menyeludup minyak dan pelbagai barang kawalan ketika tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) gagal apabila kegiatan itu berjaya dipatahkan Pasukan Polis Marin (PPM).

Malahan, seorang daripada suspek turut menggunakan bot nelayan untuk membawa keluar barang kawalan ke Pulau Taganak, Filipina sebagai taktik mengelak kegiatan itu dihidu pihak berkuasa.

Semua suspek bagaimanapun berjaya ditahan dalam operasi pasukan keselamatan di kawasan perairan sempadan antarabangsa Malaysia-Filipina, dekat sini, hari ini.

Komander PPM Wilayah 4 Sabah, Asisten Komisioner Mohamad Pajeri Ali, berkata tangkapan pertama membabitkan tiga lelaki berusia antara 30 hingga 50 tahun dengan rampasan membabitkan 12 gelen minyak petrol, dua jerikin minyak petrol, sebuah enjin sangkut dan dua bot pam, kira-kira jam 9.45 pagi.

Katanya, tangkapan kedua pula membabitkan seorang lelaki yang menggunakan kapal nelayan berdaftar dalam negara ini bersama 26 tong gas, 15 tong minyak petrol, 50 plastik gula, 210 plastik minyak masak, 100 bungkus tepung, 100 kampit beras dan pelbagai barangan runcit dianggarkan bernilai RM3,000.

“Jumlah keseluruhan rampasan termasuk bot dan kapal nelayan kira-kira RM90,000.

“Selain menggunakan bot nelayan sebagai pengangkutan membawa barang kawalan, mereka juga mengambil kesempatan ketika PKP untuk menyeludup keluar barang kawalan.

“Bekalan ini dipercayai diterima daripada peniaga runcit di sekitar bandar Sandakan,” katanya di sini, hari ini.

Mohamad Pajeri berkata, tempoh PKP dipercayai digunakan penjenayah untuk melakukan pelbagai kegiatan jenayah di perairan.

Justeru, beliau menggesa masyarakat setempat agar menyalurkan maklumat kepada pihak penguatkuasa berhubung sebarang kejadian jenayah di perairan./BERITA SABAH

Kongsikan Berita Ini

Tinggalkan Komen Anda