Berita Semasa

LANGKAH-LANGKAH KOMPREHENSIF ATASI MASALAH LAMBAKAN SAYUR

image

KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah akan mengambil beberapa langkah komprehensif untuk mengatasi masalah lambakan bekalan sayur-sayuran tanah tinggi di Kundasang ekoran pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) Sabah telah diminta mengambil perhatian perkara itu termasuk melihat keperluan para petani terjejas pendapatan atau mengalami kerugian berikutan sayur yang telah dituai tidak terjual dalam tempoh ini.

“Saya minta kementerian berkenaan mengurus dengan baik perkara ini secara keseluruhan menggunakan pendekatan komprehensif kerana berkemungkinan akan berlaku lebihan bekalan kerana ada petani yang sudah menanam sayur-sayuran mereka…sedangkan kita tahu permintaan tidak ada, sama ada daripada pasaran domestik mahupun eksport. Justeru, kita perlu tangani masalah ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Datuk Dr Joachim Gunsalam (PBS-Kundasang) dalam sesi soal jawab pada persidangan Dewan Undangan Negeri Sabah di sini, hari ini.

Joachim ingin tahu apakah bantuan khusus diberikan kepada para petani Kundasang terjejas kerana hasil tanaman yang sudah dituai tidak dapat dijual dalam tempoh PKP.

Shafie berkata, kerajaan negeri turut memberi sumbangan wang tunai kepada golongan terbabit selain turut menyediakan bantuan pinjaman kewangan dengan faedah sifar kepada semua petani bagi menggalakkan penyertaan mereka dalam sektor pertanian selepas PKP ditamatkan kelak.

Mengulas hasil tanaman sayur-sayuran yang telah dikeluarkan, Shafie berkata MAFI Sabah diminta bekerjasama dengan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Sabah untuk menyenaraikan pasar raya beroperasi bagi membolehkan bekalan sayur-sayuran terbabit dihantar ke sana.

“Data ini diperlukan supaya pasar raya boleh dihubungkan terus kepada petani. Tidak perlu ada orang tengah terlalu ramai membeli bekalan sayur-sayuran di Kundasang untuk dihantar ke sektor peruncitan kerana pergerakan perlu dikurangkan dalam tempoh ini dalam usaha membendung Covid-19,” katanya./BERITA SABAH
Kongsikan Berita Ini

Tinggalkan Komen Anda