Jenayah

SUAMI ISTERI KELUAR BELI BARANG, TIGA ANTARA PASANGAN DITAHAN

image

SANDAKAN: Tiga pasangan suami isteri yang keluar untuk membeli barang keperluan, di sini, ditahan kerana ingkar arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Ketiga-tiga pasangan itu ditahan menerusi Ops Covid-19 yang dilaksanakan di sekitar Pasar Umum Sandakan, di sini.

Difahamkan, mereka ditahan selepas pemeriksaan ke atas setiap kenderaan dinaiki pasangan itu lebih daripada satu individu.

Ketua Polis Daerah Sandakan, Asisten Komisioner Mohd Azhar Hamin, berkata tindakan itu adalah satu kesalahan kerana sepanjang tempoh PKP, hanya seorang wakil keluarga saja dibenarkan keluar menaiki kenderaan untuk tujuan membeli barang keperluan.

Katanya, semua pasangan suami isteri itu dibawa ke balai untuk siasatan di bawah Seksyen 269 Kanun Keseksaan dan Peraturan 11(1) Peraturan-peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 2020.

Dalam kes berasingan, polis turut menahan seorang lelaki berusia 26 tahun yang bukan saja ingkar arahan PKP, malah disyaki melakukan judi loteri awam tanpa lesen di Batu 7, di sini ditahan.

Turut dirampas pelbagai peralatan dipercayai digunakan untuk menjual loteri haram dan suspek turut disiasat mengikut Seksyen 4(1) Akta Rumah Judi Terbuka 1953./BERITA SABAH

Kongsikan Berita Ini

Tinggalkan Komen Anda