Berita Semasa

COVID-19 : SEBUAH KLINIK SWASTA DI SANDAKAN DITUTUP

image

SANDAKAN: Sebuah klinik swasta, Klinik Khoo Dr Arasu yang terletak di Bandar Ramai-Ramai di sini diarahkan ditutup bermula hari ini dipercayai susulan kes positif Covid-19 ke-21.

Penutupan klinik itu disahkan Pegawai Kesihatan Kawasan Sandakan, Dr Johari Awang Besar.

Katanya, kes ke-21 yang direkodkan di daerah ini, tidak membabitkan mana-mana kluster atau kontak rapat dengan kes positif sebelum ini.

Kes terbabit sekali gus mengubah kategori daerah ini daripada zon kuning kepada zon jingga sejak semalam.

“Pergerakan kes ini telah mengunjungi beberapa lokasi untuk mendapatkan rawatan atas masalah yang dialami.

“Punca jangkitan masih sedang disiasat, namun begitu, ia tidak berkaitan dengan kelompok atau kluster tertentu dan bukan hubungan rapat dengan kes positif yang disahkan sebelum ini.

“Dia (pesakit) juga tidak mengalami gejala atau tanda jangkitan Sistem Pernafasan Akut,” katanya.

Sehubungan itu, Dr Johari menggesa agar orang ramai terus mematuhi arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dalam usaha memutuskan rantaian jangkitan Covid-19.

Beliau berkata, adalah penting untuk semua penduduk agar terus berada di rumah, sentiasa menjaga kebersihan tangan dengan betul, melindungi diri dengan memakai topeng muka, mengamalkan jarak sekurang-kurangnya satu meter dan etika batuk yang betul.

Sejak semalam, mesej tular di aplikasi WhatsApp yang mendakwa seorang wanita tempatan yang positif Covid-19 mendapatkan rawatan di beberapa klinik antaranya Klinik Khoo Dr Arasu, City Scan (Bandar Utama, IJM) dan Taman Merpati antara 8 hingga 12 April./BERITA SABAH

Kongsikan Berita Ini

Tinggalkan Komen Anda