Jenayah

Maritim Malaysia Telah tingkat penguatkuasaan PKP, kekang jenayah rentas sempadan

image

LANGKAWI: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) telah menambah atur gerak aset-aset laut dan udara bagi meningkatkan penguatkuasaan perintah kawalan pergerakan (PKP) di perairan negara.

Penambahan aset ini bertujuan menyekat aktiviti jenayah rentas sempadan merangkumi aktiviti penyeludupan manusia, barangan terlarang, rompakan dan pencerobohan bot-bot nelayan asing, khususnya di kawasan-kawasan titik panas dalam zon maritim Malaysia di sepanjang Selat Melaka, Laut China Selatan dan Laut Sulu.

Menurut Timbalan Pengarah Operasi Maritim Negeri Kedah / Perlis, Kapten Maritim Zulinda Ramly, tindakan ini selaras dengan peruntukan undang-undang di bawah Akta APMM 2004, Seksyen 7(2)(I) iaitu menyingkir mana-mana vesel yang dipercayai boleh mengancam kepentingan atau membahayakan ketenteraman dan kesejahteraan dalam zon maritim Malaysia.

Pada masa sama, aset-aset APMM juga mempergiatkan pemantauan PKP menerusi peruntukan Seksyen 3, Akta 342 Akta pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit.  
Jelas Zulinda, tindakan tegas akan diambil ke atas mana-mana pihak yang melakukan aktiviti yang tidak dibenarkan kecuali aktiviti bagi perkhidmatan penting seperti nelayan yang memiliki lesen menangkap ikan sah daripada pihak berkuasa.

Dalam menguatkuasakan PKP di perairan negara, APMM telah memperkemaskan SOP operasi bersepadu dengan agensi-agensi lain, khasnya menguji dan menilai keberkesanan SOP operasi bersama Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) di perairan utara negara.

Pemantauan berterusan dipertingkatkan secara bersepadu bagi memperketatkan kawalan perairan sempadan negara daripada dicerobohi anasir asing.

Penjenayah rentas sempadan, pendatang asing tanpa izin (PATI) mahupun penyeludup akan diburu hingga ke darat untuk didakwa di mahkamah.

Pada sepanjang tempoh PKP, sebanyak 13 aset laut dan lima aset udara telah diatur gerak bagi memantau dan mengawal di sepanjang kawasan perairan utara Selat Melaka yang melibatkan dua aset udara dan tiga kapal APMM.

Manakala TLDM melibatkan dua aset udara serta tiga kapal dan TUDM pula mengatur gerak sebuah pesawat CN235.  

Kesemua aset ini telah berada di kawasan titik panas dan pemantauan dilaksanakan dari masa ke semasa bagi memperkukuhkan kawalan sempadan perairan negara.

Pada 4 April lalu, seramai 202 etnik Rohingya ditahan pada kedudukan 1.2 batu nautika di barat daya pantai Langkawi.

Bot itu ditahan Maritim Malaysia Kedah dan Perlis selepas mendapati ia hanyut lalu memasuki negara ini.
Kongsikan Berita Ini

Tinggalkan Komen Anda