Jenayah

Keluar dan masuk di Felda Lahad Datu tidak dibenarkan

image

PENGUATKUASAAN Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi kawasan Felda, dekat Lahad Datu, dipergiatkan bermula 12 tengah malam ini dan pergerakan keluar atau masuk ke kawasan terbabit tidak dibenarkan.

Ia susulan pengisytiharan daerah Lahad Datu sebagai kawasan Zon Merah jangkitan koronavirus baharu (Covid-19) dengan 42 kes dan kawasan Felda mencatatkan 11 kes.

Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Asisten Komisioner Nasri Mansor berkata, hasil keputusan Jawatan Kuasa Bencana Daerah hari ini, keputusan untuk mempertingkatkan lagi penguatkuasaan di kawasan berkenaan perlu diambil.

Menurutnya, tiada sebarang pergerakan keluar dan masuk ke kawasan terbabit sehingga proses saringan dan nyah kuman selesai dijalankan.

“Langkah itu diambil kerana pada hari ini seramai tiga individu dilaporkan positif Covid-19 di daerah ini adalah penduduk di kawasan peneroka Felda.

“Kita juga percaya mereka ini atau kontak rapat mereka ada membuat pergerakan ke kawasan sekitar Felda seperti di Cenderawasih,” katanya dalam kenyataan media, malam ini.

Nasri berkata, semua aktiviti ladang juga akan dihentikan sementara dan operasi pasar raya, kedai makan, pasar awam juga akan dihadkan.

“Dalam pada itu, satu sistem penggiliran akan diwujudkan semasa pembelian dan penghantaran barang-barang ke kawasan Felda.

“Sehubungan itu, semua masyarakat Felda dinasihatkan terus berada di rumah sepanjang tempoh ini,” katanya.

Katanya, pihaknya juga menafikan sekeras-kerasnya mesej tular kononnya kawasan Felda bakal dikenakan Perintah Berkurung.

Kongsikan Berita Ini

Tinggalkan Komen Anda