Jenayah

INGKAR PKP, MABUK DAN MENGAKU SEBAGAI PEGAWAI KASTAM

image

KOTA KINABALU: Seorang lelaki bukan saja ingkar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) malah turut mengeluarkan kata-kata kesat serta mengaku sebagai pegawai kanan kastam apabila ditahan polis di Jalan Tuaran Bypass, di sini, semalam.

Dalam kejadian jam 12.30 tengah malam itu, suspek berusia 34 tahun yang dalam keadaan mabuk dikatakan memandu kereta jenis Perodua Bezza seorang diri ditahan petugas yang sedang menjalankan sekatan jalan raya Op Covid-19.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Habibi Majinji berkata, hasil pemeriksaan mendapati suspek dipercayai berada dalam keadaan mabuk dan memberi alasan tidak munasabah.

“Suspek mengatakan hendak membeli minuman keras di salah sebuah kedai di Tebobon, Manggatal.

“Memandangkan suspek ingkar PKP yang berkuatkuasa dan memandu dalam keadaan mabuk lalu polis bertugas bertindak menahan suspek.

“Bagaimanapun suspek bertindak agresif dengan mengeluarkan kata-kata kesat kepada pegawai polis yang bertugas dan mengaku dirinya sebagai pegawai kanan Jabatan Kastam,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Habibi berkata, suspek kemudian ditahan dan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu untuk siasatan lanjut.

“Siasatan mendapati suspek bukanlah pegawai kanan Kastam dan ketika dibawa ke lokap, suspek sekali lagi bertindak agresif menyebabkan anggota polis menggunakan kekerasan minima untuk mengawal keadaan.

“Suspek direman selama empat hari bermula semalam dan siasatan masih dijalankan,” katanya.

Kes disiasat mengikut seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang penjawat awam menjalankan tugas dan Seksyen 269 Kanun Keseksaan dan Peraturan 11(1) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020./BERITA SABAH

Kongsikan Berita Ini

Tinggalkan Komen Anda