Kesihatan

Dakwaan bangunan HWKKS ditutup Adalah tidak tepat – Pengarah Kesihatan Sabah

image

KOTA KINABALU, 18 April (Bernama) — Dakwaan bangunan Hospital Wanita dan Kanak-Kanak Sabah (HWKKS) ditutup ekoran wabak COVID-19 dinafikan Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) hari ini, selepas tular sejak semalam di media sosial Whatsapp mengenai notis perintah tutup.

Pengarah JKNS Datuk Dr Christina Rundi berkata hanya terdapat satu wad di hospital berkenaan yang diletakkan di bawah kuarantin bagi memastikan tiada penularan pandemik itu di HWKKS.

“Semasa tempoh kuarantin, tidak ada kemasukan pesakit baru dan semua anggota yang bertugas di wad itu dikuarantin di kemudahan yang telah ditetapkan oleh JKNS,” katanya dalam satu kenyataan di sini.

Menurut beliau, perkhidmatan lain di HWKKS beroperasi seperti biasa dan orang awam tidak perlu bimbang untuk mendapatkan rawatan di hospital berkenaan.

Siasatan terperinci mendapati jangkitan COVID-19 di HWKKS hanya melibatkan golongan anggota kesihatan dan kontak terdekat seperti ahli keluarga dan kontak serumah.

Dr Christina selain itu menyarankan orang awam agar tidak panik dan bekerjasama serta memberi sokongan padu kepada usaha JKNS dalam menangani situasi COVID-19.

Sementara itu, beliau berkata siasatan di Hospital Keningau mendapati tidak berlaku sebarang jangkitan silang kepada pesakit hospital terbabit seperti di HWKKS.

“Ini kerana semua anggota kesihatan menggunakan peralatan perlindungan diri (PPE) ketika bertugas dan saringan ke atas semua anggota kesihatan yang terlibat termasuk kontak terdekat sudah dilaksanakan, selain kesemuanya dikuarantin di pusat yang diwartakan,” katanya lagi.

— BERNAMA

Kongsikan Berita Ini

Tinggalkan Komen Anda