Berita Semasa

SISTEM BAHARU UNTUK MOHON BANTUAN COVID-19

image

KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah telah melancarkan satu sistem baharu secara dalam talian bagi memudahkan orang ramai menyemak status permohonan Bantuan COVID-19 daripada kerajaan negeri.

Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Safar Untong, berkata sistem baharu berkenaan adalah menerusi bantuan.covid19.sabah.gov.my bagi menggantikan sistem sedia ada iaitu wecare.sabah.gov.my yang dilancarkan pada 10 April lepas.

“Sistem baharu ini mengintegrasikan data-data di dalam sistem terdahulu. Sistem berkenaan juga diperluaskan agar permohonan bantuan itu meliputi warga Sabah iaitu golongan B40 peratus yang berada di Semenanjung dan Sarawak,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Beliau berkata pemandu teksi, bas, lori dan kereta sewa juga boleh memohon bantuan daripada sistem berkenaan.

Safar berkata selain itu petani, pekebun Kecil, nelayan, penternak, malim gunung, warga tua, anak yatim, ibu tunggal serta orang kurang upaya (OKU) turut menikmati bantuan sama yang diberikan kerajaan negeri.

“Semua rekod dan data permohonan yang dimohon melalui sistem lama sudah diintegrasikan ke dalam sistem terkini serta dihubungkan secara automatik ke sistem baharu.

“Kerajaan negeri memberi jaminan keselamatan dan integriti data pemohon yang dikemuka juga terpelihara,” katanya./BERITA SABAH

Kongsikan Berita Ini

Tinggalkan Komen Anda