Kesihatan

Trivia: Ini 5 wabak Penyakit paling dahsyat dalam sejarah manusia

image

MERENTASI masa, dunia juga saban tahun menjadi ‘mangsa’ kepada makhlus ‘halus’ yang menggerunkan.

Selain melumpuhkan sistem dan fungsi hidup manusia, impaknya seolah-olah memberi mesej kepada seluruh penduduk muka bumi bahawa peradaban dan populasi manusia juga bersilih ganti apabila pandemik demi pandemik meragut jumlah nyawa yang amat tinggi.

Pandemik merujuk kepada wabak yang menyerang dalam skop lebih besar dan akan mengancam kawasan yang lebih luas seperti sebuah negeri, negara, benua atau mungkin juga seluruh dunia jika dibiarkan melarat.

Bagi memahami apakah pandemik yang pernah menyerang populasi dunia dalam skala yang besar, berikut Astro AWANI senaraikan lima pandemik terbesar dalam lipatan sejarah.


1. Maut Hitam (Black Death)

Wabak yang dipercayai bermula pada sekitar tahun 1346-1353 ini dikatakan meragut jumlah yang paling ketara dari populasi dunia ketika itu iaitu sekitar 200 juta mangsa.

Mangsa korban Maut Hitam atau ‘Black Death’ ini meliputi lebih separuh dari jumlah populasi warga Eropah.

Ia berpunca daripada sejenis bakteria dikenali ‘Yersinia pestis’ yang dipercayai sudah pupus pada zaman ini dan disebarkan oleh kutu.

Pesakit akan menunjukkan gejala-gelaja seperti tempelan hitam yang tumbuh pada kulit yang kemudian bernanah sehingga mengeluarkan darah.

.
.

2. Cacar Air (Small Pox)

Wabak cacar air dikatakan bermula sejak zaman Empayar Mesir dan menyerang sekitar 56 juta populasi dunia.

Merujuk kefahaman dari info kesihatan, virus cacar air yang dikenali sebagai virus Varicella menjangkiti melalui udara apabila seseorang yang menghidap cacar air itu mengalami batuk atau bersin.

Difahamkan, seseorang yang dijangkiti virus ini akan mengalami demam dan timbul ruam lepuh.

Ia boleh merebak dengan menyentuh atau bernafas masuk partikel virus yang terdapat pada cecair yang keluar daripada lepuh. 

Dengan kecanggihan teknologi perubatan moden, cacar air, bagaimanapun, mampu dicegah dengan vaksin.



3. Selesema Sepanyol (Spanish Flu)

Wabak yang direkodkan mula merebak pada tahun 1918 ini dianggar mengorbankan nyawa melebihi 40 juta mangsa.

Meskipun diberi nama 'Spanish Flu', asal-usul penyakit ini bukan berasal dari negara itu.

Sebaliknya, ketika kemunculan wabak itu, undang-undang penapisan akhbar Sepanyol tidak ketat lantas penyebaran maklumat terlalu bebas.

Kesannya, penyakit itu disalah anggap berpunca dari negara itu sehingga kini namanya kekal pada nama Sepanyol.

.
.

4. Wabak Justinian

Difahamkan, jumlah kematian akibat wabak yang telah menyerang pusat pentadbiran Empayar Byzantine ini masih menjadi perdebatan.

Walau bagaimanapun, ramai mempercayai bahawa ia berpunca daripada kehadiran tikus dalam kapal yang datang dari Mesir ke sebuah pekan pelabuhan bernama Pelusium.

Oleh kerana ia berlaku sekitar 541 tahun masihi (AD), banyak perkara yang tidak diketahui tentang wabak ini.

Menurut sejarah, Maharaja Justinian juga turut dijangkiti wabak itu dan berjaya sembuh.

Bagaimanapun, empayarnya jatuh dan lumpuh ketika wabak itu merebak.

.
.

5. AIDS

Umum mengetahui terma HIV yang membawa makna bagi singkatan ‘Human Immunodeficiency Virus’.

Virus ini akan menyerang badan seseorang dan menyebabkan penyakit sindrom kurang daya tahan melawan penyakit atau AIDS dan kesannya memusnahkan sistem ketahanan badan.

Menurut portal UNAIDS, sejak kes pertama direkodkan 35 tahun lalu, terdapat 78 juta mangsa dijangkiti HIV dan 35 juta daripadanya meninggal dunia.

Fakta sejarah pula mengatakan virus yang wujud sehingga kini itu berpunca daripada monyet di Afrika. 

Beberapa dekad berlalu, vaksin untuk menghapuskan virus berjangkit ini masih belum ditemui.

.
.
Selain yang disenaraikan di atas, terdapat juga wabak-wabak yang popular dalam kalangan kita. Antaranya, SARS, H1N1, Ebola dan MERS.

Dunia ketika ini juga berdepan dengan pandemik COVID-19, virus baharu yang berasal dari kumpulan koronavirus dipercayai mula dikesan di wilayah Hubei, China.

Setakat Khamis, menurut data Johns Hopkins University, jumlah kumulatif kes jangkitan kini melebihi 2.04 juta orang dengan jumlah keseluruhan melebihi 133,354 kematian.

Walau bagaimanapun, setiap ujian menimpa manusia pasti ada hikmah. Kesudahan wabak COVID-19 ini masih menjadi tanda tanya ekoran masih tiada vaksin ditemui yang mampu menjadi ubat.

Apa yang pasti, pencegahannya hanya bergantung kepada kita yang perlu memutuskan rantaian jangkitan.
Kongsikan Berita Ini

Tinggalkan Komen Anda