Jenayah

ALIH KON TUTUP LALUAN, DUA LELAKI DIBERKAS POLIS

image

SANDAKAN: Dua lelaki yang mengalihkan kon dipasang untuk menutup laluan dari Jalan Cecily ke Batu 4, di sini sudah ditahan polis.

Kedua-dua lelaki itu ditahan pasukan pemantau Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di jalan terbabit, kira-kira jam 8 pagi tadi.

Sebelum itu, pasukan pemantau yang melaksanakan rondaan mendapati kon yang dipasang di jalan berkenaan dialihkan.

Ketua Polis Daerah Sandakan, Asisten Komisioner Mohd Azhar Hamin, berkata susulan intipan dilakukan, dua lelaki terbabit yang menaiki sebuah kenderaan ditahan.

Katanya, kedua-dua lelaki itu yang masing-masing berusia 31 dan 47 tahun memberi alasan tidak munasabah iaitu menggunakan laluan terbabit untuk ke tempat kerja di Batu 6.

“Mereka kemudian ditahan dan direman untuk siasatan lanjut. Jika didapati bersalah, mereka akan dituduh ke mahkamah,” katanya di sini, hari ini.

Kes disiasat mengikut Seksyen 269 Kanun Keseksaan, Seksyen 26(2) Akta Polis 1967 dan Peraturan 11(1) Peraturan-peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 2020.

Dalam kes berasingan, seorang lelaki berusia 36 tahun ditahan selepas kerana dipercayai memiliki dadah dalam sekatan jalan raya di Jalan Utara, Batu 5, di sini, pagi tadi.

Sebelum itu, suspek yang menunggang motosikal dikatakan berada dalam keadaan mencurigakan sebelum pemeriksaan lanjut mendapati suspek membawa satu paket dadah jenis syabu./BERITA SABAH

Kongsikan Berita Ini

Tinggalkan Komen Anda