Jenayah

GUNA LALUAN JALAN ‘ESSENTIAL SERVICES’, RUPANYA SELUDUP MINUMAN KERAS

image

BEAUFORT: Cubaan dua lori yang cuba menyeludup masuk sebanyak 5,070 kotak minuman keras pelbagai jenis bernilai RM7.4 daripada Labuan ke Sabah gagal apabila ditahan polis di Jalan Pekan Menumbok, di sini, semalam.

Dalam kejadian jam 8.15 malam itu, dua lelaki berusia lingkungan 20 dan 40 tahun yang juga pemandu lori berkenaan turut ditahan oleh Pasukan Polis Marin (PPM) Labuan.

Timbalan Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Mazli Mazlan berkata, bertindak atas maklumat, PPM Labuan menahan dua lori yang ketika itu lalu di laluan essential services.

“Bagaimanapun, kedua-dua lori berkenaan ditahan untuk diperiksa kerana dalam keadaan mencurigakan.

“Hasil pemeriksaan lanjut ke atas kedua-dua lori itu menemui sejumlah minuman keras pelbagai jenis sebanyak 5,070 kotak minuman keras bernilai RM7.4 juta,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Beaufort, di sini, semalam.

Hadir sama, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Sabah, Datuk Jauteh Dikun, Timbalan Komander PPM Wilayah 4 Sabah, Superintendan Abdul Nasir Othman dan Ketua Polis Daerah Beaufort, Deputi Superintendan Azmir Abd Razak.

Mazli berkata, semua minuman keras itu diletakkan di ruang kargo barang yang ditutup dengan kanvas berwarna hijau.

“Siasatan lanjut juga mendapati semua minuman itu dipercayai cuba diseludup keluar daripada Labuan ke tanah besar Sabah.

“Penyeludup-penyeludup ini menggunakan dasar essential services yang dibenarkan oleh kerajaan dalam PKP dan mereka mengambil peluang ini untuk menjalankan aktiviti penyeludupan disebalik dasar yang dikeluarkan,” katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967.

Sementara itu, Mazli berkata, Polis Sabah merekodkan lima kes seludup sepanjang tempoh pelaksanaan PKP setakat ini.

“Lima kes penyeludupan ini berlaku di Semporna tiga kes, Tawau dan Labuan masing-masing satu kes membabitkan seludup minuman keras, bahan basah dan diesel.

“Sehubungan itu, polis akan sentiasa menjalankan operasi mencegah sebarang jenayah penyeludupan meskipun kita juga sedang bekerja keras untuk memutuskan rangkaian wabak Covid-19 ini,” katanya./BERITA SABAH

Kongsikan Berita Ini

Tinggalkan Komen Anda