Berita Semasa

BERANAK DI DATARAN TODAK KOTA KINABALU

image

KOTA KINABALU: Seorang wanita bukan saja menempuh detik cemas, malah turut bertarung nyawa apabila melahirkan bayinya di kawasan awam di Dataran Todak, di sini, malam tadi.

Kejadian ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) itu berlaku kira-kira jam 10.30 malam selepas Pahmah Nastih, 38, dari Kampung Kasuapan, Pulau Gaya, di sini, tidak sempat dibawa Ke Hospital Wanita dan Kanak-Kanak Sabah (HWKKS) Likas.

Menceritakan detik cemas itu, abang ipar kepada Pahmah, Halilih Ladjahali, 50, berkata, Pahmah tiba-tiba mengadu rasa sakit hendak bersalin sebelum dia bersama isteri bergegas membawanya menaiki bot dari Kampung Kasuapan menuju ke Jeti Pasar Besar Kota Kinabalu.

“Sebaik tiba di jeti, saya cuba mendapatkan kenderaan untuk pergi ke HWKKS namun keadaan di kawasan itu lengang kerana tempoh PKP.

“Pada masa sama saya meminta bantuan kepada anggota polis yang sedang bertugas menguatkuasakan PKP untuk menghubungi ambulans,” katanya ketika ditemui di perkarangan HWKKS.

Menurutnya, ketika dia bersama isteri memapah Pahmah menuju ke jalan utama, Pahmah mengadu sakit perut hendak beranak.

“Isteri saya kemudian menenangkannya dan kebetulan dua anggota polis termasuk seorang anggota wanita yang sedang membuat rondaan terus menghulurkan bantuan.

“Tidak lama selepas itu, isteri saya memaklumkan kepala bayi sudah kelihatan sambil anggota polis wanita terbabit membantu Pahmah bersalin di kawasan Dataran Todak,” katanya.

Menurutnya, beberapa minit kemudian ambulans dari HWKKS tiba dan membawa Pahmah bersama anak perempuan yang selamat dilahirkan.

“Saya dan isteri tinggal serumah bersama Pahmah dan ketika itu suaminya tiada di rumah kerana keluar ke laut menangkap ikan.

“Alhamdulillah, doktor memaklumkan Pahmah dan anaknya dalam keadaan baik dan stabil,” katanya.

Sementera itu, Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Habibi Majinji berkata, ketika kejadian itu, dua anggota polis termasuk seorang anggota polis wanita sedang membuat pemantauan dan rondaan di sekitar kawasan Pasar Besar Kota Kinabalu dan Dataran Todak bagi menguatkuasakan PKP.

“Melihat situasi itu, anggota polis wanita itu kemudian segera membantu dengan ditemani oleh kakak wanita terbabit dan wanita itu selamat melahirkan bayinya.

“Wanita bersama anaknya kemudian dibawa menaiki ambulans untuk dihantar ke HWKKS bagi menjalani rawatan lanjut,” katanya ketika dihubungi.

Tambah beliau, meskipun dalam keadaan PKP, namun menjadi tanggungjawab anggota polis membantu orang ramai dalam keadaan kesusahan lebih-lebih wanita terbabit hendak bersalin dan amat memerlukan pertolongan./BERITA SABAH

Kongsikan Berita Ini

Tinggalkan Komen Anda